Terpulang pada Ahmad Said, Pas akan berkawan dengan sesiapa sahaja, kata Ahmad Samsuri
Astro Awani
November 18, 2021 16:01 MYT
November 18, 2021 16:01 MYT
KUALA TERENGGANU: "Terpulang kepada Ahmad Said jika itu menggembirakan hatinya."
Itu reaksi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar susulan kenyataan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang memutuskan untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu berkata, Pas ingin berkawan dengan semua orang namun terpulang kepada penerimaan masing-masing.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, parti itu juga teguh dengan pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).
“Terpulang pada dia (Ahmad Said), kalau dia rasa gembira begitu… apa-apa sahaja yang menggembirakan hati dia.
“Kita (Pas) masih nak berkawan dengan semua orang. Kalau sesiapa yang rasa dia bahagia dan gembira tidak berkawan dengan orang lain, itu hak masing-masing,” kata Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu bahawa UMNO akan bergerak sendirian dalam PRU15 berikutan tiada kerjasama dalam MN di negeri itu.
ADUN Kijal itu berkata, UMNO Terengganu tetap teguh dan tidak berganjak dengan pendirian tersebut.