Terowong: Lim cabar Wee namakan pemimpin 'rasuah'
Bernama
Mac 14, 2018 23:57 MYT
Mac 14, 2018 23:57 MYT
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mencabar Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong supaya menamakan pemimpin kerajaan negeri ini yang didakwa terlibat dengan rasuah atau menerima sogokan bagi projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya.
Katanya, sehingga hari ini, Wee, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, belum menyatakan nama ahli politik Pulau Pinang itu.
Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, Lim bertanya dari aspek manakah projek itu didakwa melibatkan rasuah kerana ia dilaksanakan melalui tender terbuka.
Projek berkenaan merangkumi jalan Pesisir Pantai utara sepanjang 10.53km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, jalan lencongan Lebuhraya Air Itam-Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7km dan jalan lencongan Lebuhraya Persiaran Gurney-Tun Lim Chong Eu sepanjang 4.075km.
Projek itu juga melibatkan pembinaan sebuah terowong dasar laut sepanjang 7.2km menghubungkan Persiaran Gurney di sini dengan Bagan Ajam di Seberang Perai.
-- BERNAMA