Terima teguran akar umbi, kata Ketua Wanita PKR
Shuhada Abdul Kadir
Disember 5, 2019 00:24 MYT
Disember 5, 2019 00:24 MYT
Pemimpin-pemimpin Wanita dalam PKR dinasihatkan agar bersikap terbuka dalam menerima teguran meskipun teguran itu datang daripada anggota akar umbi.
Menurut Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha, teguran itu bertujuan sebagai peringatan untuk ke landasan yang betul apabila mereka 'tergelincir'.
“Kita ada rakan-rakan yang menegur dan mengingatkan kita untuk ke landasan yang betul apabila kita tergelincir.
“Oleh itu tidaklah menjadi kelemahan walaupun kita tersilap dan terima teguran itu dengan berlapang dada meskipun dari anggota biasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) kali ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam ini.
Dalam ucapan tersebut, Haniza turut mengingatkan ahli parti agar tidak menggunakan alasan ‘perjuangan sejak dua dekad’ bagi membolehkan mereka mengangkat mana-mana pemimpin yang digemari.
Sebaliknya, tegas beliau, kesemua ahli perlu bekerjasama menangkis usaha mana-mana pihak dari memecahbelahkan parti.
“Kita harus ingat, ramai yang bersama anggota parti ini dari mula dilahir dan diwujudkan, yang telah melalui proses cabaran, (dan) ujian. Pengorbanan dan perjuangan mereka jangan dinafikan.
“Kerana parti ini bukan dibina (oleh) satu atau dua individu sahaja selain ramai anggota biasa yang telah berkorban untuk parti.
“Jadi, jangan kita biarkan mana-mana pihak yang mahu pecah belahkan parti ini dan guna alasan untuk angkat mana-mana pemimpin,” kata beliau yang
juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya.
Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika menyampaikan ucapan perasmian kongres sayap itu berkata, AMK dan Wanita saling memerlukan antara satu sama lain.
“Mungkin beberapa bulan lalu pendirian kita mungkin ada beza, tetapi di parti dan kongres kita letak tepi dan parti ini kita angkat bersama.
“Saya percaya dengan kesatuan ini menjadi dasar asas pada kita untuk berdepan masalah sebenarnya dan masaah kita bukan di dalam, tetapi di luar sana,” katanya.
#Ahli Wanita PKR
#Akmal Nasrullah Mohd Nasir
#Haniza Mohd Talha
#Ketua AMK
#Ketua Wanita PKR
#PKR
#Wanita PKR