Terima keputusan pemilihan, walau kalah tetap bermaruah - Fahmi Fadzil
Rahimah Abdullah
Julai 5, 2022 18:56 MYT
Julai 5, 2022 18:56 MYT
KUALA LUMPUR : Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menerima dengan terbuka kekalahannya di kerusi Naib Presiden PKR yang ditandinginya pada Pemilihan Keadilan 2022.
Justeru, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menggesa mereka yang turut kalah pada pemilihan turut membuat perkara sama.
"Bagi saya, saya percaya kepada keputusan ini dan saya yakin. Bagi anggota Keadilan, terpulang kepada mereka.
"Namun, kita saran guna saluran yang telah ditetapkan dan ditentukan untuk berhubung dengan JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) bagi mendapatkan penjelasan, atau dengan Presiden untuk usahakan penyelesaian yang baik.
"Saya gesa (semua pihak) untuk menerima keputusan ini termasuk untuk diri saya sendiri... walaupun kalah tetap bermaruah," katanya dalam sidang media program Ascott Limited Malaysia Reaching Out At B40 Group On Education, Employment And Training di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Fahmi menjelaskan, JPP PKR mengesahkan cubaan-cubaan untuk menggodam tidak menjejaskan sistem integriti proses Pemilihan Keadilan 2022.
Tambah beliau, sistem yang diguna pakai sebaliknya tetap utuh di sebalik lebih 100,000 cubaan godam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"JPP ada bagi taklimat kepada Majlis Pimpinan Pusat, mungkin dua atau tiga minggu yang lalu. Taklimat yang mereka berikan (ada mnyatakan), jumlah cubaan godaman lebih 100,000 cubaan, tetapi tidak berjaya.
"Antara dapatan yang diperoleh oleh auditor, menunjukkan bahawa integriti sistem itu tidak terjejas. Maksudnya the system is intact, tidak ada usaha menggodam yang telah berjaya dan sistem itu telus," katanya lagi.
Selain itu, JPP turut menerima lebih 1,800 aduan dari pelbagai pihak dan setelah diteliti serta disaring dengan audit forensik, ada undi yang tidak patut dimasukkan telah diselesaikan dengan baik.
"Itulah kita lihat kenapa antara sebab keputusan semalam berupa sedemikian," tambahnya.