Terima kembali mereka yang tinggalkan UMNO - Md Alwi

Vivi Sumanti
Mei 8, 2022 05:37 MYT
Md Alwi (kiri) menyantuni tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan di kediamannya di Padang Upeh, Ketereh, malam tadi. - Foto Astro AWANI
KETEREH: Buangkan rasa benci dan dendam, tanamkan sikap terbuka dan terima kembali mereka yang meninggalkan UMNO.
Demikian pandangan dilontarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, yang menganggap mereka yang meninggalkan parti itu suatu ketika dahulu mempunyai alasan dan sebab tersendiri.
Katanya, UMNO tidak boleh berdendam terhadap mereka yang pernah keluar parti, sebaliknya perlu bersikap terbuka dan memaafkan kekhilafan individu tersebut.
"Yang keluar dari UMNO dan menyertai Bersatu (Parti Peribumi Bersatu Malaysia), mereka ada alasan.
"Tetapi, apabila mereka rasa menyesal, come back (pulanglah)," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Padang Upeh, di sini, malam tadi.
"Saya tak ada masalah. Siapa kita untuk tolak mereka yang ingin kembali?
"Suatu ketika dahulu, (apabila) Ahli Parlimen Gua Musang menubuhkan Semangat 46, hancur UMNO semasa itu, haram jadinya parti UMNO ketika itu, hilang Kelantan selepas itu selama 31 tahun, tetapi (kemudian) dia masuk balik UMNO dan dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan oleh Tun Dr Mahathir (Mohamad)," katanya.
Md Alwi menjelaskan, manusia biasa kadang-kadang tersalah atau tersasar, maka mereka harus kembali ke pangkal jalan.
"We forgive and forget. Apa yang nak dibenci sangat? Kenapa penuh benci pada orang?
"Lokman (Noor) Adam pernah dipecat dalam Majlis Tertinggi, tetapi dia datang kembali. Banyak (terjadi dalam) sejarah, termasuk Tun Mahathir sendiri," tambahnya.
Beliau turut memberi contoh Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa yang meninggalkan UMNO sewaktu masih lagi menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, iaitu selepas kerajaan Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14.
"Siapa tak sakit hati Tok Pa tinggalkan UMNO pada waktu itu? Bayangkan kalau Menteri Besar Kelantan dan timbalannya meninggalkan Pas dan menyertai Parti Amanah, hati mana tak sakit?
"Apa perasaan rakan-rakan lain, seperti Ahli Dewan Undangan Negeri Pas? Kita kenalah bersabar. Ada sebab mereka pergi, yang kita tak tahu," katanya
"Yang lepas, lepaslah. Terimalah mereka kembali. Dan, mereka yang kembali menyertai UMNO, kenalah ikut giliran," jelasnya.
Baru-baru ini, terdapat ura-ura mengatakan sebahagian besar mereka yang meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu, ingin kembali kepada UMNO.
Namun, perkara tersebut setakat ini tidak mendapat pengesahan mana-mana pihak.
#Md Alwi Che Ahmad #UMNO #keluar parti