KUALA LUMPUR:Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan seluruh ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bersetuju mencalonkan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah baharu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan gabungan PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) demi kepentingan Sabah.

“Persepakatan ini membuktikan kerjasama erat parti-parti di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini mendapat sokongan rakyat negeri ini.

“Saya sangat menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh parti-parti dalam gabungan ini demi kepentingan dan masa depan rakyat Sabah.

BACA: Hajiji Noor Ketua Menteri Sabah baharu

BACA: 'Saya dipanggil' - Hajiji menghadap Tun Juhar





“Saya juga berdoa semoga Sabah terus kekal menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur,” kata beliau yang juga Perdana Menteri. 

GRS sebulat suara menamakan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah, hari ini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan undangan negeri (ADUN) Sulaman itu mengesahkan akan mengangkat sumpah pada pukul 10.30 pagi Selasa.