Terima kasih, Najib! - Penyokong BN
Astro Awani
Mei 14, 2018 19:25 MYT
Mei 14, 2018 19:25 MYT
Sebahagian rakyat Malaysia hari ini melancarkan petisyen merakamkan penghargaan dan sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggap memberi sumbangan kepada negara menerusi program transformasinya.
Dalam satu kenyataan, mereka mendakwa fakta ekonomi jelas menunjukkan negara berada di landasan yang betul dan mampan namun persepsi menguasai politik negara.
"Kami yang menandatangani petisyen ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas segala sumbangan Datuk Seri (Najib) dalam menyeimbangkan pembangunan negara - antara kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan keperluan mengukuhkan asas ekonomi negara selama 9 tahun lalu.
"Fakta-fakta ekonomi jelas menunjukkan negara berada di landasan yang betul dan mampan. Malangnya persepsi menguasai politik negara kita.
Mereka juga mendakwa pengenalan GST dan rasionalisasi subsidi oleh Najib telah menyelamatkan ekonomi negara secara senyap dari terjejas teruk bila berlaku masalah ekonomi serantau dan dunia.
"Dengan BR1M, Datuk Seri (Najib) telah berusaha memastikan golongan bawahan tidak terjejas teruk akibat keputusan-keputusan kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara yang telah menyebabkan kenaikan kos sara hidup," kata kenyataan itu lagi.
Mereka menyasarkan sejuta tandatangan untuk menyatakan sokongan terhadap Najib yang telah melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN.
#Barisan Nasional
#BR1M
#GST
#Malaysia
#Malaysia Baharu
#Najib Razak
#rasionalisasi
#sokongan
#terima kasih