Terima kasih Khairy kerana mengesahkan skandal 1MDB - Khairuddin
Astro Awani
November 21, 2018 17:21 MYT
November 21, 2018 17:21 MYT
Pengakuan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akhirnya membuka kisah sebenar skandal yang disembunyikan pemimpin UMNO sejak sekian lama.
Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ia sekali gus tanda pengakhiran sokongan Khairy terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Sekarang Khairy sendiri menghentam Najib malah mengaku apa yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) dalam skandal 1MDB mempunyai asas kebenaran yang sahih.
"Daripada seorang yang kuat membela Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor, Khairy kini berpaling tadah dan mentohmah bekas ketua yang disanjunginya dahulu.
"Bagaimana Khairy yang satu masa dahulu membela Najib kini membuat pusingan-U dan lain pula ceritanya?" soal Khairuddin dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
BACA: Pulanglah Jho Low ...
Dalam temubual bersama Utusan Malaysia, Khairy mahu ahli UMNO menerima hakikat mengenai skandal 1MDB malah memberitahu penafian akan terus menjejaskan parti.
Tegas Khairy, ahli UMNO tidak boleh mempertahankan isu 1MDB kerana tiada apa untuk mempertahankannya.
Jelas Khairy lagi, ia akan menjadi sukar bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bangkit semula selagi isu 1MDB berlegar di fikiran mereka.
Dalam pada itu, tegas Khairuddin, yang juga penyelaras Parlimen Jasin, Khairy sudah terlambat untuk memenangi hati pemimpin PH kerana sikapnya sudah diketahui semua.
"Malah, ketika dia menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO, pernah membayangi saya ditangkap serta didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Tun Dr Mahathir Mohamad turut dicemuh dahulu oleh Khairy dengan pelbagai ungkapan yang mempersendakan perdana menteri hari ini.
"Tidak keterlaluan sekiranya saya menyatakan bahawa pada hakikatnya Khairy ini cukup angkuh pada suatu masa dahulu," jelasnya.
Tambah Khairuddin, segala-galanya sudah terlalu lambat untuk Khairy mengaku terdapat salah laku dan penyelewengan dalam skandal 1MDB itu.
Dalam perkembangan berasingan, Khairuddin memberitahu, tandatangan sumpah berkanun oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan batu loncatan untuknya terlepas dari tindakan undang-undang di atas kesalahan lampau.
"Kepimpinan tertinggi PH harus terus berpegang utuh pada prinsip kebenaran yakni mana-mana pemimpin UMNO yang korup perlu menghadapi proses undang-undang walau apa bentuk sokongan mereka pada kerajaan kini.
"Kepimpinan PH tidak boleh berkompromi dengan mereka. Kita juga tidak boleh mengkhianati kehendak rakyat jelata yang mahukan pemimpin UMNO yang terlalu korup dihadapkan ke muka pengadilan.
"Bagi saya pemimpin-pemimpin korup UMNO ini bukan ikhlas. Mereka mengambil keputusan untuk menandatangani kenyataan sumpah berkanun semata-mata hendak menyelamatkan diri sahaja," jelasnya.
Tegasnya, Ahmad Zahid kini dilihat sanggup melakukan apa saja untuk menyelamatkan diri.