Terbit kad laporan Ahli Parlimen perlu jadi budaya
Harits Asyraf Hasnan
Januari 2, 2021 13:24 MYT
Januari 2, 2021 13:24 MYT
KUALA LUMPUR: Penerbitan kad laporan prestasi dalam kalangan ahli politik di negara ini masih belum meluas, kata Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof. Madya Dr Hamidin Abdul Hamid.
Menurutnya, budaya politik ketika ini hanya melihat tanggungjawab seseorang ahli politik itu adalah kepada parti yang disertai dan bukannya penduduk di kawasan yang diwakili.
Tegasnya, budaya politik lapuk itu boleh diubah di peringkat pembuatan polisi termasuk kesedaran dalam kalangan pengundi itu sendiri.
“Kalau kita lihat budaya politik dan literasi politik di negara kita ini masih jauh ketinggalan dan dalam konteks ini kita melihat kepada psikik terutama masyrakat Melayu apabila melihat adanya pengasingan antara kelas pemimpin dan yang dipimpin.
“Jadi dalam konteks ini, saya merasakan bahawa perubahan mesti berlaku bukan sahaja dalam bentuk pemikiran, tetapi juga dalam bentuk struktur iaitu memastikan urus tadbir yang baik bagi setiap Ahli Parlimen dengan meletak KPI mereka dan menjadi perkara asas kepada mereka.
“Menerusi perubahan struktur ini, saya percaya perubahan di peringkat psikik ini boleh berlaku kalangan pengundi,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Jelasnya, sekiranya perubahan struktur itu berjaya direalisasikan, ia akan membuka minda para pengundi bahawa ahli politik yang dipilih mereka bertanggungjawab penuh terhadap pengundi dan bukan parti yang dinaungi mereka.
Mengulas lanjut katanya, Dewan Rakyat mempunyai hak dan kuasa untuk mewajibkan setiap Ahli Parlimen untuk menerbitkan kad laporan prestasi mereka.
Jelasnya, mekanisme pelaksanaannya sudah ada seperti melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen, namun ia memerlukan keazaman politik yang tinggi untuk direalisasi.
“Saya tidak melihat mengapa ia tidak boleh dilakukan dalam konteks Jawatankuasa Pilhan di Parlimen seperti meminta setiap kemeterian lapor urus tadbir.
“Kita ada mekanisma itu contohnya menerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Laporan Audit Negara dan sebagainya di mana setiap kementerian itu disoal siasat, diperiksa perbelanjaan dan pelbagai lagi,” katanya.
Justeru beliau berpandangan, wakil rakyat juga tidak seharusnya lari dari tanggungjawab itu sebaliknya menjadi barisan paling hadapan untuk melakukan perubahan tersebut.
KPI: Penerbitan kad laporan prestasi ahli politik