Tengku Zafrul masih ahli UMNO - Ahmad Zahid

Bernama
Mac 12, 2025 23:05 MYT
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti itu kepadanya pada minggu lepas. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti itu kepadanya pada minggu lepas.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah menasihati Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu untuk tidak membuat keputusan tergesa-gesa dan setakat ini, Tengku Zafrul masih lagi ahli UMNO.
"Saya telah beri pandangan parti bahawa beliau tidak perlu tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Beliau ialah Menteri MITI, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan beliau juga Ahli MKT yang dipilih dan menang, jadi tidak perlu tergesa-gesa.
"Beliau (Tengku Zafrul) telah bersetuju dengan nasihat saya," katanya pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Bersama MKT UMNO di sini hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, rundingan sengit sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan memaklumkan UMNO akan menggerakkan jentera dari seluruh Malaysia untuk membantu parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan diadakan pada 26 April ini.
Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat MKT yang diadakan petang tadi di Menara Dato' Onn, di sini.
PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.
Selain itu, Asyraf Wajdi berkata mesyuarat berkenaan memutuskan tarikh-tarikh untuk mengadakan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan pada 7 hingga 25 Mei ini, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian (9 Jun hingga 27 Julai) dan Perhimpunan Agung UMNO dari 20 hingga 23 Ogos.
-- BERNAMA
#Zafrul Tengku Abdul Aziz #ahli UMNO #Ahmad Zahid Hamidi #Ahli Majlis Kerja Tertinggi
;