Tengku Zafrul kongsi lima pendekatan kembalikan kegemilangan UMNO Selangor

Bernama
April 6, 2024 22:09 MYT
Tengku Zafrul berkata jika budaya sedia ada tidak diubah, UMNO akan kekal tanpa kuasa di Selangor biar setebal mana pelan dan visi yang disediakan. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
SHAH ALAM: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkongsi lima pendekatan untuk mengembalikan kegemilangan UMNO di Selangor.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata kegagalan parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri yang lepas menuntut satu kajian sikap yang ikhlas dilaksanakan bagi mengetahui denyut nadi keseluruhan rakyat Selangor terhadap UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu berkata perkara kedua yang perlu dilakukan ialah memodenkan operasi organisasi agar parti menjadi lebih efektif, pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea daripada akar umbi dan meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan serta mengguna pakai data dan analisis dengan tepat.
"Ketiga, mencari pelapis dengan hati yang terbuka. Hal ini penting kerana akhirnya, organisasi UMNO Selangor akan dihakimi rakyat dengan pemimpin yang ditonjolkan.
"Pandangan keempat ialah merangka kerjasama yang win-win (menang-menang) dengan rakan-rakan kita di negeri Selangor," katanya dalam catatan melalui Facebook hari ini.
Tengku Zafrul berkata perkara kelima iaitu yang paling penting dilakukan ialah UMNO perlu menerapkan budaya politik baharu, baik budaya intelektual, fokus kepada penyelesaian dan dasar serta membuang budaya "cah keting".
Beliau berkata jika budaya sedia ada tidak diubah, UMNO akan kekal tanpa kuasa di Selangor biar setebal mana pelan dan visi yang disediakan.
Tengku Zafrul yang meletak jawatan selaku Bendahari UMNO minggu lepas berkata beliau masih komited dengan UMNO Bahagian Kota Raja dan UMNO Selangor kerana ingin berkongsi impian melihat parti itu kembali relevan dan dihormati di negeri itu.
"Jadi, kalau pandangan saya tentang keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor tidak diterima, saya kira lebih baik saya tumpukan kepada membantu UMNO di peringkat pusat dan di peringkat bahagian sahaja," katanya
-- BERNAMA
#UMNO #kajian sikap #berkongsi impian #budaya intelektual
;