Tengku Zafrul dilantik Bendahari BN Selangor

Astro Awani
Julai 31, 2022 22:50 MYT
Tengku Zafrul dilantik sebagai bendahari baharu Barisan Nasional (BN) Selangor. - Gambar/ Twitter Ahmad Maslan
SHAH ALAM: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai bendahari baharu Barisan Nasional (BN) Selangor, menggantikan Datuk Seri Jamal Yunos.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, berkongsi perkara itu di Twitternya, malam ini.
Katanya, pelantikan Tengku Zafrul itu diumumkan oleh Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dalam Konvensyen BN Selangor yang berakhir sebentar tadi.
"Bendahari BN Selangor yang baharu ialah Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz (Menteri Kewangan) diumum Tan Sri Noh dalam Konvensyen BN Selangor yang ditutup oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Tiba masanya Selangor diperintah kembali oleh Barisan Nasional. Dengan semangat padu dan sokongan rakyat, kejayaan boleh dicapai," katanya.

31/7/22: Bendahari #BN #Selangor yg baru ialah DSU @tzafrul_aziz (Menteri Kewangan) diumum TS Noh dlm Konvensyen BN Sngor yg ditutup oleh DS @DrZahidHamidi Tiba masanya Sngor diperintah kembali oleh #BarisanNasional. Dgn semangat padu & sokongan #rakyat, kejayaan boleh dicapai pic.twitter.com/Mjnq7uPxAq

— Ahmad b Maslan (@ahmadmaslan) July 31, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam pada itu, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, yang menyandang jawatan itu sejak 2019, bertukar portfolio sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Noh berkata pelantikan Tengku Zafrul adalah antara usaha untuk menawan semula negeri itu.
"Dengan sedikit rombakan, sekurang-kurangnya ia akan memberi semangat baharu untuk kita terus berjuang untuk pastikan BN Selangor bangkit.
"Insya-Allah, kita akan teruskan perjuangan untuk pastikan BN berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Pelantikan Tengku Zafrul menguatkan spekulasi yang beliau bakal bertanding sebagai calon BN pada pilihan raya umum akan datang.
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Barisan Nasional #pilihan raya umum #Noh Omar
;