Tengku Zafrul dilantik Ahli MKT UMNO
Ridauddin Daud
Februari 16, 2023 22:12 MYT
Februari 16, 2023 22:12 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengangkat sumpah di hadapan Ahli MKT sebelum mesyuarat bermula pada malam tadi.
Perkembangan terbaharu itu dikongsi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ciapan di Twitternya sebentar tadi.
"Mesyuarat MKT UMNO pada 16 Februari 2023 dimulakan dengan YB Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengangkat sumpah sebagai Ahli MKT yang dilantik oleh Presiden UMNO.
"Selamat berkhidmat demi #ABATA, Agama, Bangsa, Tanah Air agar #rakyat #Malaysia maju dan sejahtera atas usaha kita bersama," tulis beliau.
Ciapan itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kehadiran Tengku Zafrul ke Menara Dato' Onn pada Khamis malam.
Astro AWANI sebelum itu melaporkan kemunculan Tengku Zafrul di Menara Dato' Onn pada Khamis menimbulkan tanda tanya kepada petugas media.
Beliau yang memakai baju UMNO tiba pada jam 8.07 malam di lobi menara sebelum bergegas masuk ke lif untuk ke bilik mesyuarat.
Ahli Jawatankuasa UMNO Kota Raja itu sebelum ini mengesahkan akan bertanding jawatan itu dalam Pemilihan UMNO akan datang.
Menurutnya, hasrat itu bagi membolehkan dirinya bersama pemimpin yang akan dipilih nanti menyumbang khidmat kepada parti khususnya bagi memulihkan UMNO.
#ahli MKT UMNO
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
#UMNO Bahagian Kota Raja
#Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO