Tengku Zafrul diberi tugas khas - Zahid Hamidi

Hasimi Muhamad
April 21, 2024 19:12 MYT
Awal bulan ini, Tengku Zafrul (gambar) mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor berkuat kuasa 1 April. - Foto Astro AWANI
HULU SELANGOR: Bekas Bendahari UMNO Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz diberi tugas khas untuk menyusun strategi aktiviti politik di luar kerangka UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Perkara itu disahkan oleh Presiden UMNO, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Berucap pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 2024 UMNO Bahagian Hulu Selangor, Ahmad Zahid berkata beliau juga akan memantau prestasi Tengku Zafrul berikutan tugas yang diberikan.
“Saya tahu Zafrul berundur daripada jawatan Bendahari (UMNO Selangor) dan itu adalah pilihannya.
“Bagaimanapun, saya berbincang dengannya mengenai tugas lain dan saya menugaskan beliau untuk mengatur strategi dan melibatkan diri dalam aktiviti politik di luar kerangka UMNO dan BN.
“Dia tahu tentang tugas ini. Insya-Allah, saya akan pantau prestasinya dalam tugas baharu yang diberikan dan saya percaya dia boleh buat,” katanya dalam perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2024 UMNO Bahagian Hulu Selangor di MRSM Ampang Pecah, Kuala Kubu Baharu, di sini pada Ahad.
Sementara itu, ditanya mengenai peranan khusus yang diberikan kepada Tengku Zafrul selepas majlis berkenaan, Timbalan Perdana Menteri itu secara ringkas memaklumkan butirannya akan diumumkan dalam masa yang ditetapkan.
Awal bulan ini, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor berkuat kuasa 1 April.
Dalam catatan di Facebook beliau, keputusan itu dibuat selepas melihat kebangkitan parti berkenaan di negeri itu dilihat hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO pusat.
#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #Zahid Hamidi #UMNO #Barisan Nasional #tugas khas
;