Tengku Adnan nafi parti tidak ikut peraturan urus kes Muhyiddin, Mukhriz
Israr Khalid
Mei 21, 2016 17:01 MYT
Mei 21, 2016 17:01 MYT
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan dakwaan bahawa proses tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadap timbalan presiden yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak mengikut tatacara sepertimana ditetapkan dalam perlembagaan parti.
Jelasnya, Muhyiddin tidak mendapat surat tunjuk sebab atau dipanggil untuk membela diri kerana kesnya tidak diproses Lembaga Disiplin tetapi dikembalikan semula untuk dipertimbangkan Majlis Tertinggi.
"Selalunya ahli biasa akan ditulis surat, dipanggil untuk bela diri, dalam dua minggu mereka perlu tampil beri keterangan.
"Tetapi dalam kes ini, Lembaga Disiplin tidak boleh teruskan proses tersebut dan dipulangkan semula atas sebab ini kes berprofil tinggi," katanya selepas menyempurnakan Program Semarak Komuniti 1Malaysia peringkat parlimen Bukit Bintang/Seputeh/Putrajaya di sini, hari ini.
Perkara itu katanya, sama seperti ketika Muhyiddin digantung daripada jawatan Naib Pesiden pada 26 Februari.
Katanya, Majlis Tertinggi berhak melaksanakan tanggungjawab membuat keputusan selain daripada apa yang tertera dalam tataetika dan perlembagaan parti.
UMNO juga katanya, sentiasa adil dan melaksanakan caranya sebagai sebuah parti yang berstruktur.
Justeru tegas Ahli Parlimen Putrajaya itu, tidak timbul persoalan sama Muhyiddin tidak diberi peluang untuk membela diri sebelum dihukum
Tengku Adnan turut memaklumkan mesyuarat Majlis Tertinggi akan dilangsungkan Isnin ini (23 Mei 2016).
"Bagaimanapun sebagai Setiausaha Agung tugas saya hanya membawa perkara ini ke Majlis Tertinggi.
"Sama ada ia akan diputuskan dalam sesi ini atau tidak, saya tak tahu," katanya.
Muhyiddin mempersoalkan tindakan parti yang mahu mengambil tindakan terhadap 'salah lakunya' tetapi tidak mengemukakan surat tunjuk sebab atau memanggilnya untuk memberi keterangan.
Kata Ahli Parlimen Pagoh itu, ia melanggar tatacara dan prosedur sepatutnya, sekali gus bercanggah dengan peruntukan Fasal 20.1 Perlembagaan UMNO.
Sebelum ini, Tengku Adnan menyatakan pendiriannya bahawa Muhyiddin dan Mukhriz wajar dipecat daripada parti kerana tindakan mereka yang begitu radikal menentang UMNO, lebih-lebih lagi dengan menyertai Deklarasi Rakyat baru-baru ini.