GEORGE TOWN: Tempoh kempen selama dua minggu mencukupi untuk semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan, kata Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong.

Beliau berkata parti itu juga berpuas hati dengan semua tarikh penting yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan 12 Ogos sebagai hari mengundi, manakala hari penamaan calon pada 29 Julai dan 8 Ogos untuk pengundian awal.

"Sebelum ini, kami menyasarkan 5 Ogos atau 12 Ogos untuk hari pengundian PRN. Jadi, kami gembira apabila pilihan raya negeri akan diadakan pada satu tarikh sasaran kami.

"Dua minggu sudah cukup baik buat kami untuk berkempen dengan mengadakan ceramah, jelajah mesra dan akan berkempen melalui media sosial seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Gerakan, sebuah gabungan di bawah Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia untuk menghadapi PRN ini.

SPR menetapkan PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan dijalankan serentak pada 12 Ogos.

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang memiliki 40 kerusi, dibubarkan pada 28 Jun untuk memberi laluan kepada PRN.

-- BERNAMA