Tempias PRN Sabah kepada PRU15
Datuk M Periasamy
Oktober 3, 2020 21:09 MYT
Oktober 3, 2020 21:09 MYT
SEPERTI yang ditetapkan pada 26 September lalu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 berakhir tanpa diulit sebarang isu kontroversi.
Gabungan Warisan Plus yang diketuai Datuk Seri Shafie Apdal gagal mempertahankan kuasa pemerintahan kerajaan Sabah yang dirampas daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Gabungan Warisan Plus yang dianggotai Warisan, DAP, Amanah, PKR dan UPKO memperoleh 32 kerusi, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai BN, PN dan PBS memperoleh 38 kerusi daripada jumlah 73 kerusi DUN Sabah.
Ini bermakna GRS berjaya merangkul lebih enam kerusi berbanding Warisan Plus.
Dalam pada itu, calon bebas turut berjaya memenangi tiga kerusi.
Satu-satunya parti yang bertanding di semua kawasan, iaitu Parti Cinta Sabah (PCS) kecundang sepenuhnya dalam pilihanraya ini.
Pada awalnya, parti ini diuar-uarkan akan menang besar sehingga mampu membentuk kerajaan negeri.
Parti-parti lain seperti MCA, Amanah, PBRS dan USNO turut mengalami nasib sama seperti PCS.
Penelitian terperinci terhadap keputusan PRN Sabah ke-16 jelas memperlihatkan adanya satu bentuk pola pengundian yang cukup berbeza berbanding dengan PRU pada tahun 2018.
Kecenderungan pengundian dalam kalangan pengundi Sabah, terutamanya etnik Kadazan Dusun dan Murut didapati berubah secara drastik.
Namun begitu, pengaruh dan kedudukan Shafie masih kukuh dan kuat di Sabah, dengan kelebihannya di kawasan pantai timur Sabah terutamanya dalam kalangan suku kaum Bajau Suluk.
Di bawah pimpinan beliau, Warisan yang bertanding 46 kerusi memenangi 23 kerusi (50 peratus).
Sekutunya, DAP turut mencapai kemenangan yang memuaskan seperti dijangkakan. Daripada tujuh kerusi yang ditandingi, DAP memenangi enam kerusi (85.75 peratus). Maka tidak syak lagi, DAP menonjol sebagai parti sekutu terbaik dalam gagasan Warisan Plus.
Parti terbaik
Kekalahan Warisan Plus dalam PRN Sabah pada kali ini dikaitkan dengan beberapa faktor.
Antaranya, faktor kekalahan teruk rakan perjuangan dalam komponen Warisan Plus itu sendiri, iaitu UPKO dan PKR.
Dengan bertanding di 12 kerusi, UPKO hanya mampu memenangi satu kerusi sahaja (8.3 peratus), manakala PKR yang bertanding di tujuh kerusi pula hanya memenangi dua kerusi (28.5% peratus).
Jika dilihat pada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), parti STAR menonjol sebagai parti terbaik kerana mencapai prestasi cemerlang berbanding parti-parti lain.
STAR berjaya menguasai enam kerusi daripada lapan kerusi yang ditandinginya (75 peratus) diikuti Bersatu dengan 11 kerusi daripada 19 kerusi yang ditandingi, manakala UMNO dengan 14 kerusi daripada 31 kerusi (45.2 peratus) dan PBS pula, tujuh sahaja daripada 22 kerusi yang ditandingi (31.8 peratus).
Prestasi BN, khasnya UMNO kurang memberangsangkan pada PRN Sabah, berbanding prestasi BN/UMNO yang dihasilkan daripada beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang telah diadakan di Semenanjung sebelum ini.
Parti Bersatu yang mewakili PN nampaknya lebih menonjol sebagai parti berpengaruh dalam PRN Sabah pada kali ini.
Apatah lagi, pemimpin UMNO (BN) hanya mampu mencatatkan kemenangan dengan kadar majoriti yang tipis, iaitu 661 berbanding dengan majoriti 3,099 yang diperolehi oleh pemimpin Bersatu.
Dalam pada itu, UPKO, sebuah parti di bawah Gabungan Warisan Plus mencatatkan kejatuhan yang ketara.
Peralihan sebahagian besar sokongan pengundi dari kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) kepada STAR dan PBS dilihat sebagai faktor utama yang menyebabkan UPKO kalah teruk.
Kekalahan UPKO disifatkan sebagai faktor utama yang menyumbang kepada peralihan kerajaan Sabah di bawah Warisan Plus kepada GRS pada kali ini.
Penolakan kaum KDM terhadap UPKO juga jelas menunjukkan komuniti tersebut yang bersama UPKO pada PRU14 menolak Warisan dalam PRN Sabah pada kali ini.
Pada PRU14, UPKO bertanding di atas tiket BN pada PRU14 di bawah kepimpinan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
UPKO bertanding di kawasan KDM dan mendapat sokongan hebat daripada komuniti di kawasan Kadazan Dusun Murut (KDM).
Pada PRU tersebut, UPKO berjaya meraih lima kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen.
Kemudiannya, UPKO mengubah pendiriannya dengan menyokong Warisan untuk menubuhkan kerajaan negeri selepas BN kehilangan kuasa di peringkat persekutuan.
Rentetan daripada itu, tindakan lompat parti tersebut menyebabkan sebahagian besar komuniti KDM mengalihkan sokongan mereka kepada PBS dan STAR yang juga parti-parti mewakili kepentingan suku kaum Kadazan.
Peralihan sokongan tersebut menyumbang kepada kekalahan calon UPKO dalam PRN Sabah ke-16 kali ini.
Kini, UPKO memiliki hanya satu kerusi Parlimen (Tuaran) dan satu kerusi DUN (Kadaiman).
Kemerosotan pengaruh UPKO dalam kalangan komuniti KDM berlaku apabila UPKO bertindak menyokong Warisan kepimpinan Shafie membentuk kerajaan negeri, sekali gus menjatuhkan kerajaan BN pada PRU14.
Komuniti KDM mulai menyokong parti-parti dalam gabungan BN kerana kononnya timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan sesetengah warga Sabah dengan polisi-polisi kerajaan negeri ‘Bajau - Suluk centrik'.
Di sebaliknya, polisi ‘prihatin’ dan inklusif kerajaan pusat kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin didapati menarik sokongan pengundi Sabah, terutamanya pengundi terdiri daripada kumpulan B40, terhadap Bersatu.
Dengan itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa pada keseluruhanya, pengaruh UMNO didapati merosot sedikit berbanding PRU14 dan pengaruh Bersatu pula meningkat di Sabah.
Persoalannya, apakah pola kecenderungan politik yang timbul dalam kalangan komuniti KDM di Sabah akan turut terpancar dalam kalangan pengundi terutamanya dalam komuniti bukan Islam di Semenanjung?
Komuniti India yang menolak BN pada PRU14 pula kini kelihatan kembali menyokong BN sejak kepimpinan MIC diambil alih oleh Tan Sri SA. Vigneswaran.
Kemenangan BN sejak akhir-akhir ini di Semenanjung juga jelas membuktikan timbulnya peralihan sokongan pengundi India kepada BN.
Trend ini dijangka turut menyerlah dalam PRU15 dan menyumbang besar ke arah peluang UMNO/BN menguasai Putrajaya. Tunggu dan lihat!
* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#DAP
#MIC
#MCA
#PBS
#UMNO
#PKR
#Shafie Apdal
#Muhyiddin Yassin
#PRU
#Parlimen
#India
#PRU14
#calon
#Kolumnis AWANI