Temerloh, Bentong, Kuantan kerusi panas pencorak masa depan Pahang

Nuradilla Noorazam
April 8, 2018 18:12 MYT
Satu-satunya kerusi DUN BN di Bentong adalah milik Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob. - Gambar fail
Pahang masih akan kekal sebagai penyumbang penting kepada perolehan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) buat Barisan Nasional (BN) dengan kemungkinan margin kemenangan yang bertambah.
Kuncinya, menurut Penganalisis Politik Professor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, adalah pengecualian Pas dari Pakatan Harapan yang menyebabkan undi masyarakat Melayu, yang menjadi majoriti utama di negeri Pahang, terbahagi kepada beberapa komponen.
Walau bagaimanapun, Nik Ahmad Kamal berkata, kelebihan ini tidak patut diambil mudah oleh BN kerana beberapa faktor seperti kekurangan margin di kerusi-kerusi panas yang ditandang oleh pemimpin tertinggi peringkat negeri dan nasional seperti Bentong dan Temerloh.
Margin mudah
Pada PRU13, Presiden MCA Liow Tiong Lai menang dengan margin mudah sebanyak 379 undi berbanding lawannya, Wong Tack dari DAP.
Di Bentong, yang juga kawasan kerusi DUN Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Pelangai, DAP mempunyai pengaruh yang semakin tinggi.
“Pastinya Bentong menjadi tempat yang begitu menarik untuk kita lihat pada PRU14 nanti. Liow bukanlah calon yang calang-calang dan kekalahannya mungkin mempunyai kesan besar di peringkat kepimpinan MCA itu sendiri.
“Tetapi saya agak yakin dia boleh mempertahankan kerusinya kerana komposisi pengundi di Bentong di antara masyarakat Melayu dan Cina tidak terlalu besar. Seperti kita ketahui, MCA mendapat kemenangan di kerusi dengan pengundi majoriti Melayu atas dasar bertanding di bawah BN,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI.
Pada PRU13, DAP memenangi tiga daripada empat kerusi DUN di Bentong manakala satu-satunya kerusi yang dipertahankan adalah yang dimenangi Adenan dengan margin undian yang kecil.
Temerloh merupakan Kawasan BN sebelum kekalahan bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kepada Nasrudin Hasan, seorang calon Pas, pada PRU13.
“Kekalahan Saifuddin merupakan sesuatu yang tidak dijangka. Ia disebabkan oleh pengundi berbangsa Cina yang mengundi Pas atas faktor Pakatan Harapan.
“Memandangkan Pas bukan lagi di bawah PH, maka ia memecahkan lagi undian di kawasan berkenaan dan berkemungkinan besar boleh memberi kelebihan kepada BN,” katanya.
Personaliti paling tepat
Pastinya Cameron Highlands juga menarik kerana memperlihatkan persaingan mengenai siapa antara personaliti politik BN yang boleh dibawa kehadapan pada PRU14. Selepas kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, Presiden MyPPP Tan Sri Dr M Kavyeas menyatakan kesediaan dirinya untuk bertanding di Cameron Highlands dan keyakinan untuk memenangi kerusi itu bagi pihak BN.
Sementara MIC pula ingin mempertahankan kerusi tersebut yang sememangnya diduduki mereka selama ini.
Selain itu, Kuantan yang kini merupakan kerusi PKR (Fuziah Salleh), selepas kekalahan wakil BN Datuk Saifuddin Awang juga dilihat mampu kembali semula kepada BN jika parti itu meletakkan calon yang tepat dengan kehendak masyarakat setempat.
Sentimen anti-kerajaan yang kuat di kawasan-kawasan bandar yang berdekatan dengan Kuala Lumpur seperti di Bentong dan Kuantan pastinya memberi kesan kepada peluang BN untuk mengekalkan dan mengembalikan kerusi tersebut dalam tampuk kuasanya menjelang PRU14 nanti.
Persoalan sebenarnya, menurut Nik Ahmad Kamal, Pahang mempunyai beberapa kawasan yang menarik untuk dilihat kerana bukan sahaja mempunyai persaingan sengit tetapi bakal menentukan masa hadapan parti komponen dalam BN.
#AdillaAzam #Bentong #BN #Cameron Highlands #DAP #election #HogohUndi #Kuantan #MalaysiaMemilih #MCA #NikAhmadKamal #Pahang #Pakatan Harapan #PAS #PRU13 #PRU14 #temerloh
;