Tembok Kota Sentosa 'runtuh' selepas tiga penggal
Shafik Ahmad
Disember 18, 2021 00:42 MYT
Disember 18, 2021 00:42 MYT
KUCHING: Selepas tiga penggal mencuba, akhirnya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berjaya menawan Kota Sentosa pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).
Wilfred Yap Yau Sin yang bertanding di bawah panji Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang dengan majoriti 1,683 undi sekali gus merampas kubu kuat DAP itu.
Dalam pertandingan lima penjuru itu, Wilfred memperolehi 5,806 undi manakala empat pencabar lain, Micheal Kong Feng Nian (DAP)(4,123), Lau Pang Heng (PSB)(2,328), Lue Cheng Hing (PBK)(1,015) dan Tan Kok Chiang (ASPIRASI)(215).
Kawasan DUN Kota Sentosa mempunyai 25,863 pengundi berdaftar. Bagaimanapun hanya 52.15 peratus atau 13,487 pemilih yang keluar mengundi.
Kota Sentosa sebelum ini disandang Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen selama 15 tahun.
Namun Chieng Jen berhijrah ke Padungan bagi mendapatkan sokongan rakyat di kawasan itu selepas kerusi berkenaan dikosongkan penyandangnya, Wong King Wei yang keluar parti.
Untuk rekod, Wilfred Yap bertanding di kerusi Kota Sentosa sejak 2006 namun tewas dalam semua pertandingan.