'Tembakan itu singgah tepat ke jantung bonda', kata Nik Abduh kepada kekandanya
Zaim Ibrahim
April 30, 2018 16:34 MYT
April 30, 2018 16:34 MYT
Calon Parti Islam Se-Malaysia (Pas) bagi Parlimen Bachok, Kelantan, Nik Mohamad Abduh ternyata sukar menerima keputusan abangnya, Nik Omar yang mengumumkan bertanding sebagai calon Parti Amanah Negara (Amanah) di DUN Chempaka.
Menurut Nik Abduh, keputusan abangnya itu merupakan satu tembakan tepat kepada ibu mereka, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
“Ini adalah tembakan kedua yang terpaksa ditanggung oleh bonda selepas tembakan pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir lebih 15 tahun lepas apabila salah seorang anaknya di-ISA-kan,” kata beliau seperti yang dipetik di laman Facebook rasminya.
Beliau turut mengesahkan ibu mereka akan turut berkempen di DUN N06 Chempaka tetapi bagi menyokong calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood.
Tambah beliau, Nik Omar sepatutnya memberi tumpuan terhadap ibu mereka yang masih ada di sisi dan bukannya ayah mereka yang sudah meninggal dunia.
“Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina,” ujarnya lagi.
29 April lepas, Hari Penamaan Calon dikejutkan dengan kehadiran Nik Omar Nik Aziz yang hadir untuk daftar sebagai calon Amanah atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Nik Omar menegaskan, tindakan beliau bertanding atas tiket PKR adalah bagi meneruskan legasi ayahnya serta meraikan sistem demokrasi yang ada di negara ini.
#Abdul Hadi Awang
#Bachok
#Barisan Nasional
#demokrasi
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#Nik Aziz
#Nik Mohamad Abduh
#Pakatan Harapan
#Parti Keadilan Rakyat
#PAS
#PRU14
#Serambi Mekah