Teguran Presiden PKR supaya kepimpinan berada di landasan betul
Astro Awani
Januari 19, 2019 23:22 MYT
Januari 19, 2019 23:22 MYT
Ketua Wanita PKR Haniza Mohamed Talha menyifatkan teguran Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk mengingatkan semua kepimpinan parti berada di landasan betul.
Haniza berkata, beliau tidak tahu kepada siapa teguran itu dibuat namun percaya ia adalah peringatan untuk semua pemimpin parti agar mereka tidak lupa mengenai permuafakatan dan perjuangan asal parti.
Ujarnya, setiap pemimpin haruslah bersedia menerima teguran dan kritikan sekalipun mereka memegang jawatan tertinggi di dalam parti mahupun kerajaan.
Katanya, ini kerana PKR sendiri sebagai parti reformasi mengamalkan prinsip terbuka untuk menegur mana-mana pemimpin yang didapati tersasar daripada tujuan asal.
"Saya rasa itu peringatan yang bagus seperti yang saya katakan tadi mana-mana pemimpin dengan jawatan tertinggi, kalau ada yang tak betul perlu ditegur," katanya selepas merasmikan majlis Konvensyen Wanita Keadilan Zon Utara di Georgwtown pada Sabtu.
Isnin lepas, Anwar mendakwa ada sesetengah pemimpin PKR sudah mula lupa diri sebaik memegang jawatan.
Katanya, ahli PKR perlu berhenti 'bermain wayang', dan sebaliknya menumpukan usaha mengukuhkan permuafakatan dalam parti dan memperkemaskan disiplin.