Tawaran transformasi: Pembangkang perlu ambil peluang kedua demi rakyat - Azizah

Assim Hassan
September 11, 2021 17:03 MYT
Kata Azizah, ini merupakan tawaran kedua diberikan kerajaan untuk semua wakil rakyat terutama pembangkang bersama-sama memulihkan semula negara.
KUALA LUMPUR: Tujuh tawaran bagi melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan merupakan peluang kedua kepada wakil rakyat pembangkang untuk bersama-sama kerajaan mendepani COVID-19 sekali gus memulihkan ekonomi negara.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, ini merupakan tawaran kedua diberikan kerajaan untuk semua wakil rakyat terutama pembangkang bersama-sama memulihkan semula negara.
"Inilah kerajaan sekarang baik dari segi Kerajaan Perikatan Nasional dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini pun sudah menawarkan kepada pembangkang. Sekarang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakod juga menawarkan tawaran kepada mereka walaupun dahulu mereka sudah menolaknya.
"Keterbukaan ini bukti kerajaan mahu mengambil kira pandangan daripada wakil rakyat pembangkang dalam membuat keputusan seperti pembentangan Bajet," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
BACA: PM umum 7 tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, wujud landskap politik baharu
Dalam pada itu, sekiranya, pembangkang masih lagi tidak menerima tawaran itu Azizah yang juga Ketua Srikandi Bersatu Sabah berkata, kerajaan tidak perlu untuk menawarkan tawaran seumpama itu di masa depan.
Sehubungan itu, pembangkang kata Azizah perlu berlapang dada dan melihat tawaran tersebut dalam konteks yang luas demi kebaikan negara serta rakyat.
Katanya, rakyat juga mahu wakil rakyat pembangkang supaya berlapang dada dengan tawaran diberikan kerajaan itu.
"Sepatutnya wakil rakyat pembangkang perlu berbesar hati atau berlapang dada melibat apa yang terbaik untuk rakyat.
Politik Baharu | Tujuh tawaran transformasi Parlimen & Pentadbiran
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tujuh tawaran bagi melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Ismail Sabri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi.
#azizah mohd dun #Tawaran Perdana Menteri #Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #COVID-19
;