Tawaran Transformasi: Iktiraf peranan pembangkang bantu kerajaan pulihkan negara
Nuzuluddin Abdul Razak
September 11, 2021 18:31 MYT
September 11, 2021 18:31 MYT
KUCHING: Tujuh tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan jelas mengiktiraf peranan barisan pembangkang dalam membantu kerajaan menghadapi krisis dalam negara.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata tawaran tersebut sekali gus langkah baik kerajaan dengan mengutamakan suara pihak pembangkang dalam menelusuri sistem demokrasi berpelembagaan.
“Bagi saya ia adalah satu langkah yang positif terutama dalam sejarah politik negara yang mana kita dapat mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak kerajaan atau pembangkang bagi menghadapi pelbagai krisis dalam negara.
“Pada masa ini juga kerjasama pihak pembangkang akan menunjukkan kepentingan sebuah reformasi di mana kerajaan sedia ada akan mengambil kira pandangan dan input daripada pihak kami sementara negara berdepan dengan krisis ekonomi dan kesihatan,” katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Sabtu.
Jelas Dr Kelvin isi kandungan tawaran tersebut secara langsung akan mewujudkan satu bentuk reformasi institusi Parlimen yang positif untuk kesan jangka masa panjang.
Malah ini katanya masa yang tepat bagi kedua-dua pihak mencari titik tengah untuk menyelesaikan krisis ekonomi yang dihadapi rakyat khasnya semasa pandemik COVID-19 melanda.
“Persetujuan untuk menyertakan pihak pembangkang dalam perbincangan mengenai Rang Undang-Undang yang akan dibentangkan di Parlimen terutama melibatkan perbelanjaan adalah satu langkah yang sangat progresif dengan mewujudkan ruang untuk kerajaan menerima input daripada pelbagai sumber,” katanya.
Sementara itu, Dr Kelvin yang juga Penolong Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak percaya perjuangan Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan Undi18 akan menjadi sejarah baharu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.
Kata sepakat itu ujarnya menggambarkan bukti serta keupayaan pembangkang dalam memperjuangkan hak rakyat selari dengan tujuan untuk mewujudkan medan politik yang damai.
“Untuk jangka masa panjang contohnya, pindaan perlembagaan untuk melaksanakan Undi18 yang diperjuangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu telah dipersetujui.
“Kita berharap ianya akan dapat dilaksanakan dengan segera, malah jika semuanya berjalan lancar sesuai perancangan, ini akan menjadi sejarah dalam PRN Sarawak yang mana anak muda negeri ini berumur 18 tahun dapat turun mengundi untuk kali pertama,” tambah Kelvin lagi.
Bagi meneruskan aspirasi kerajaan yang berwibawa, beliau turut menegaskan pentadbiran seperti ini harus dikekalkan dan percaya jika Pakatan Harapan kembali menjadi kerajaan, praktis ini bakal dijadikan sandaran agar idea serta input yang konstruktif daripada pembangkang ketika itu dapat dimasukkan dalam setiap RUU dan sebagainya.