Tawan pengundi Melayu: Pakatan pembangkang perlu cermin diri - Rafizi

Harits Asyraf Hasnan
Februari 7, 2017 09:15 MYT
Antara mereka yang hadir pada sidang meja bulat termasuk Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. - Foto Astro AWANI / Haritz Asyraf Hasnaf
Pemimpin parti pembangkang perlu menilai semula fokus perjuangan terutama dalam menawan hati pengundi Melayu di negara ini.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, 40 peratus pengundi Melayu masih memilih Umno apabila mereka melihat kepimpinan pembangkang merupakan alternatif yang masih belum berkemampuan untuk mentadbir Kerajaan.
"Kita perlu meyakinkan pengundi Melayu di mana 40 peratus Melayu masih mengundi Barisan Nasional (BN).
"Baik pembangkang, aktivis, NGO, mahupun orang yang berpengetahuan, kita pada ketika ini tidak fahami dan menjiwai orang Melayu kerana orang Melayu ini mahu melihat apa yang dilakukan daripada bercakap.
"Itu perlunya kita hadapi semua ini dan kita kena cermin diri bahawa kita mesti memikirkan bahawa kita dinilai sebagai satu gabungan politik, NGO dan aktivis yang sebenarnya jujur dan benar-benar mahu membantu dan bukan sahaja ambil peluang untuk ke Putrajaya," katanya pada Sidang Meja Bulat 'Selamatkan Malaysia' di sini hari ini.
Jelasnya, pakatan pembangkang pada ketika ini menghadapi masalah untuk memenangi hati rakyat termasuk kredibiliti.
Tambah Rafizi, jika pakatan pembangkang berjaya menawan 40 peratus pengundi Melayu yang masih bersama Umno, ia akan memberi 90 peratus kelebihan kemenangan kepada pembangkang pada PRU14.
Hadir sama pada sidang meja bulat tersebut adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
#Lim Kit Siang #Mahathir Mohamad #parti pembangkang #pengundi melayu #Rafizi Ramli #UMNO