Tarikh pengundian 12 Ogos sesuai, munasabah - MB Selangor

Bernama
Julai 5, 2023 17:55 MYT
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan tarikh pengundian serentak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang ditetapkan pada 12 Ogos adalah sesuai dan munasabah. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan tarikh pengundian serentak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang ditetapkan pada 12 Ogos adalah sesuai dan munasabah.
Beliau berkata selain itu, tempoh kempen selama 14 hari bermula 29 Julai juga mencukupi untuk semua parti berkempen dan bakal calon memperkenalkan diri.
"Pada musim dan saat media sosial sudah semakin rancak, saya percaya ia memberikan masa yang sangat luas kepada semua parti untuk menerangkan polisi dan memujuk pengundi.
"Dengan tempoh yang diumumkan juga, semua parti telah ada persediaan untuk berdepan dengan pilihan raya ini dan ia turut dilaksanakan pada Sabtu, iaitu hari cuti untuk semua negeri yang terlibat dengan PRN," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.
Selain itu, tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
#Amirudin Shari #PRN Selangor #tarikh pengundian #pilihan raya negeri
;