Tarikh matang DUN Sarawak 6 Jun 2021
Fadilah Sulaiman
November 5, 2020 17:52 MYT
November 5, 2020 17:52 MYT
KUCHING: Tarikh matang Dewan Undangan Negeri Sarawak adalah pada 6 Jun 2021, jelas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Penjelasan itu bagi meleraikan kekeliruan mengenai tarikh matang tersebut, memandangkan mesyuarat pertama DUN selepas Pilihan Raya Negeri Ke-11 adalah pada 7 Jun 2017.
Sehubungan itu katanya, tempoh DUN tamat adalah lima tahun dari 7 jun 2016 dan peraturan ini termaktub di bawah Artikel 21(3) Perlembagaan Sarawak.
“Oleh itu, tempoh DUN akan berakhir adalah pada 6 Jun 2021. Lima tahun bukan bermula dari tarikh pilihan raya. Lima tahun itu adalah dari tarikh persidangan pertama selepas pilihan raya," jelasnya pada sidang media di Bangunan DUN hari ini.
Manakala tambah Mohamad Asfia, bagi tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 pula, jika DUN belum dibubarkan lebih awal, maka DUN akan terbubar secara automatik pada 6 Jun 2021.
“Jika berakhir pada 6 Jun 2021, di bawah Artikel 21 klausa 4, mempunyai lanjutan 60 hari selepas itu. Ada atau tiada wabak COVID-19, pilihan raya mesti diadakan. Ia adalah wajib dari segi perlembagaan. Tiada pilihan," katanya.
Dalam pada itu Asfia memberitahu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak memberi sebarang petunjuk mengenai tarikh PRN-12 akan datang.
#Tarikh matang DUN Sarawak
#DUN Sarawak bubar
#Speaker DUN
#Mohamad Asfia Awang Nassar
#Perlembagaan Sarawak