'Tanya kawan-kawan, ini gimik ke?' - Muhyiddin
Sinar Harian
November 25, 2023 17:46 MYT
November 25, 2023 17:46 MYT
SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tindakannya mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan akan datang sebagai gimik perhimpunan agung tahunan parti.
Ahli Parlimen Pagoh itu sebaliknya menegaskan, keputusan untuk terus kekal bertanding bagi jawatan tersebut dibuat selepas mendapat restu daripada isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan, tindakan itu juga susulan rayuan serta serta desakan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan ahli Bersatu yang mahu beliau kekal dalam jawatan Presiden.
"Gimik? Kamu cuba tanya kawan-kawan lain, (tindakan) ini gimik ke? Saya bukan main-main. Anda kalau duduk di atas dan dengar, ini bukan main gimik.
"Bukan permainan budak-budak. Itu (hasrat tidak mempertahankan jawatan) adalah ucapan dasar saya," katanya pada sidang akhbar selepas menangguhkan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 pada Sabtu.
Muhyiddin hari ini mengumumkan bersetuju untuk mengekalkan jawatan Presiden setelah mendapat restu Noorainee untuk terus memimpin parti berkenaan.
Selain itu beliau mahu semua ahli parti berbaiah untuk teguh dan setia bersamanya, sekali gus memberi dukungan kepada parti untuk merampas kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang. - Sinar Harian