Tanjung Piai: PRK muafakat atau PRK sentimen?

Wan Syamsul Amly
November 2, 2019 11:00 MYT
PRK Tanjung Piai menjadi ujian pertama muafakat kepada calon BN bukan Melayu di kawasan yang dikatakan ramai pengundi Melayu. - Gambar Astro AWANI
PROSES penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menjadi pintu permulaan perebutan sengit kerusi antara beberapa calon yang bertanding.
Ia merupakan PRK kesembilan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas.
Istimewanya PRK kali ini adalah bukti kepada beberapa peristiwa besar sebelum ini yang melibatkan isu kaum, persahabatan antara parti serta pelbagai spekulasi perubahan suasana politik negara yang bakal berlaku dalam masa terdekat.
Pastinya, seperti biasa, dalam mana-mana pertandingan, akan ada pihak yang menawan selain strategi menahan demi memastikan kerusi yang sudah dimiliki tidak terlepas ke tangan orang lain.
Tanda perubahan
PRK Tanjung Piai kali ini merupakan tanda perubahan landskap politik pilihan raya negara. Ia kali pertama pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) mengemukakan falsafah muafakat mereka dengan cara menampilkan Pas sebagai rakan kongsi.
Ini dapat dilhat satu permulaan kepada usaha untuk mendapatkan kembali kuasa ke Putrajaya dan ujian sampling bagaimana muafakat ini boleh diteruskan dalam bentuk kempen dan persefahaman dalam bentuk menawan pengundi.
Ini juga ujian pertama muafakat kepada calon BN bukan Melayu di kawasan yang dikatakan ramai pengundi Melayu.
Dalam hal ini, ternyata ada pihak yang cuba menyerang Pas apabila calon bukan Melayu dikemukakan. Pihak berkenaan juga seolah-olah tidak menyedari calon MCA itu sudah bertapak di Tanjung Piai sejak 2004 lagi.
Ternyata, konsep muafakat ini bukan hanya tertakluk kepada soal Pas semata-mata malahan ia akan berterusan lebih-lebih lagi Pas kini sudah berada dalam arah yang sama.
Ia mesti diterima waima ada Pas, muafakat asal BN masih diamalkan malah satu bonus kepada Pas sendiri kerana menerima konsep muafakat ini dengan hati terbuka.
Walaupun pada PRK lain Pas tidak banyak bekerjasama dengan BN tetapi kesediaan mereka untuk tidak meletakkan calon satu tanda muafakat bersama BN untuk bersama masuk ke gelanggang PRK yang sudah dibuka.
Hari ini juga, ramai yang berkata PRK Tanjung Piai menguji impak kepada model baharu ke arah PRU ke-15 selain model baharu dalam BN itu sendiri.
Memetik kata-kata Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang menyifatkan PRK ini akan menjadi referendum untuk dua perkara, iaitu penerimaan rakyat terhadap Piagam Muafakat Nasional oleh BN dan Pas, serta kepercayaan rakyat terhadap kerajaan PH.
Hasni turut dilaporkan berkata PH perlu menilai sendiri sentimen rakyat terhadap mereka sejak gagal mengotakan beberapa perkara yang telah dijanjikan dalam Manifesto PH, serta isu yang masih mencengkam rakyat ketika ini seperti tol, minyak dan kos sara hidup.
Siapa kawan?
Pas bukan masuk ke dalam UMNO, ia hanya sekadar rakan kongsi semata-mata. Pas tidak masuk UMNO dan UMNO juga tidak masuk Pas yang tidak boleh dinafikan merupakan musuh lama mereka sendiri.
Ternyata dari segi pencalonan, isu muafakat ini dilihat berjalan baik. Sebagai permulaan, ia tanda positif selain banyak lagi perkara yang boleh dijangka dalam percaturan politik namun masih belum kelihatan.
Berbalik kepada calon Melayu yang diletakkan kerajaan, ia menimbulkan isu agama malahan perkauman pada peringkat awal.
Keputusan kerajaan meletakkan calon Melayu itu seolah-olah strategi politik sentimen yang tidak hilang secara tradisional kerana politik negara memang berasaskan perkauman sejak sekian lama.
Boleh dipantau, dalam tempoh singkat sebelum hari pencalonan, isu perkauman yang dimainkan pihak tertentu mendorong kepada pelencongan misi Malaysia Baharu.
Apakah hanya kerana Pas bersama UMNO maka isu perkauman boleh muncul dan dihalalkan semula?
Apakah hanya kerana itu, pihak berkenaan boleh menggunakannya sebagai modal untuk menghentam Pas?
Jika jawapannya ‘ya’, itu bermakna pihak berkenaan tidak ada perkara lain selain mahu memainkan isu agama dan Melayu dalam kempen mereka.
Apa yang sebenarnya dimahukan sentimen ini jika terus dimainkan hanya membawa kepayahan dan jalan sukar menuju Malaysia Baharu yang dilaung mereka selama ini.
Terima muafakat
Di peringkat pembangkang, subjek muafakat sudah diterima apabila Pas senang hati berada dalam bulatan yang merangkumi parti CIna (MCA) serta India (MIC). Hanya parti pemerintah yang semakin cemas melihat Pas bersama BN.
Paling penting, formula kemenangan yang akan dibentang tidak boleh mengelirukan rakyat.
Pemikiran rakyat perlu diubah dan dijumudkan kerana apa yang dilihat kini adalah ketamadunan politik dan politik matang.
Dalam lapan PRK lepas, ada kempen dan calon namun PRK kali ini akan menyajikan sesuatu yang baharu iaitu penerimaan kepada sentimen yang membawa kepada perubahan cara mendekati pengundi dalam skop yang lebih terbuka.
Ia akan memperlihatkan perbezaan antara politik muafakat yang ‘menentang’ politik sentimen.
Kali ini, isu lokal dan nasional yang tidak diberi tumpuan akan menjadikan calon kerajaan terkaku dalam mengemukakan apa yang hendak dijanjikan kepada pengundi.
Masalah kini lebih serius kepada isu ekonomi, infrastruktur, sara hidup, perumahan serta pekerjaan.
Jika dilihat banyak projek pembangunan di Tanjung Piai sendiri adalah pengumuman projek lama yang diulang tayang dan tiada sebarang perkembangan selepas lebih setahun mereka menang di sana.
Kajian Merdeka Centre bahawa PH meraih populariti 87 peratus ketika merampas Putrajaya daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu mula merudum sehingga 35 peratus kini.
Statistik Merdeka Center itu turut mendedahkan, populariti PH dalam kalangan pengundi Cina dan India jatuh kepada 41 peratus, manakala 30 peratus pengundi Melayu masih menyokong PH sehingga Ogos lalu.
Ia sekali gus membuktikan kesan kepada sentimen ini sudah ada dan pilihanraya muafakat ini sudah lahir pada PRK kali ini.
Sebenarnya, keputusan ini membuktikan pertambahan pengundi atas pagar untuk membuat keputusan.
Apapun, pada ketika ini, peluang untuk semua calon masih 50 50 dan seimbang.
Dalam congak sebegini, ia trend menarik politik muafakat menentang politik sentimen yang harus dilihat keberkesanannya.
Kita akan lihat bagaimana calon-calpn PRK Tanjung Piai mula berkempen, apa strategi mereka, apa pendekatan, formula, cara putih, kelabu atau hitam.
Kita tunggu dan lihat.

Wan Syamsul Amly ialah wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#UMNO #PAS #Barisan Nasional #MIC #MCA #PRU14 #UiTM #Putrajaya #tol #Referendum #Cina #pembangkang #Melayu
;