Tanjung Piai Memilih: Wee Jeck Seng enggan layan serangan peribadi
Astro Awani
November 15, 2019 09:57 MYT
November 15, 2019 09:57 MYT
Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng enggan mengulas lanjut mengenai laporan portal berita kononnya beliau menentang penggunaan tulisan jawi.
Menganggap ia serangan berunsur peribadi dan manipulasi pihak tertentu, calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau akan terus fokus pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
“Lain-lain tak payah cerita. Kalau cerita lagi banyak tak selesai. Yang penting kita fokus untuk pilihan raya kecil.
“Semua boleh beri pelbagai komen. Kali ini kerajaan lebih kotor untuk serang saya secara peribadi, jadi faham-fahamlah, ini pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI pada program Bazar Amal Kutipan Dana Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC), di Pekan Nenas, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media pro-kerajaan mendakwa Wee mengeluarkan kenyataan menentang tulisan jawi menerusi catatan dalam laman Facebook peribadinya yang berbahasa Mandarin.
Bagaimanapun, Penasihat BN Datuk Seri Najib Razak berkata, pihaknya sudah meneliti terjemahan kenyataan itu dan mendapati bekas penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai itu tidak pernah menentang tulisan jawi seperti didakwa.
Wee sebelum ini pernah memenangi kerusi Tanjung Piai pada pilhan raya umum ke-12 (PRU12) dan PRU13.
Mengulas lanjut mengenai dana untuk TARUC yang dikumpul badan bukan kerajaan (NGO), Wee berkata, ia dilakukan kerana kerajaan hanya memberi dana pendidikan RM1 juta kepada kolej itu.
Menurutnya, jumlah itu tidak mencukupi kerana kerajaan terdahulu sentiasa memberikan dana sebanyak RM30 juta.
Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pakatan Harapan (PH) akan menghentikan amalan kerajaan terdahulu memberi dana pendidikan kepada institusi pendidikan swasta yang mempunyai hubungan dengan parti politik.
PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung esok (16 Nov) diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada September.
Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru yang melibatkan Wee, calon PH Karmaine Sardini, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar.
#Barisan Nasional
#DAP
#manipulasi
#MCA
#Pakatan Harapan
#Parlimen Tanjung Piai
#pilihan raya kecil
#PRK Tanjung Piai
#serangan peribadi
#Tanjung Piai Memilih
#tulisan jawi
#Wee Jeck Seng