Tanjung Piai Memilih: Biarpun kempen lewat, calon Bebas tidak mahu hilang deposit

Firdaus Azil
November 8, 2019 13:23 MYT
Calon Bebas Faridah Aryani Abdul Ghaffar yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Parlimen Tanjung Piai pada pengumuman calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Pontian hari ini. - fotoBERNAMA
Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, Faridah Aryani Abdul Ghaffar akhirnya memulakan kempen bertemu pengundi setelah tujuh hari berlalunya hari penamaan calon.
Beliau berkata, itu merupakan strategi yang terpaksa dilakukan memandangkan kekurangan dana serta jentera yang lebih kecil berbanding calon lain seperti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Bercakap kepada pemberita, Faridah memaklumkan bahawa beliau terus komited untuk memperjuangkan nasib golongan B40, yang dikatakan mewakili 70 peratus pengundi di kawasan ini.
Walaupun tiada manifesto yang dapat ditawarkan, beliau tetap menggariskan fokus utamanya, antaranya menambahbaik peluang pendapatan dan ekonomi golongan berkenaan, yang rata-ratanya terdiri daripada nelayan, pekebun, serta peniaga kecil-kecilan.
“Kita tak ada sebarang manifesto ... sebab kita pun (bertanding) atas tiket calon bebas, kita tak ada dana dari mana-mana pihak.
BACA: Tanjung Piai Memilih: Kalau menang pun, BN tak boleh buat apa - Tun Mahathir
“Yang menyokong aktiviti kempen kita hanya beberapa badan bukan kerajaan. Jadi, pergerakan kita agak terhad dan kita akan buat program berdasarkan ad-hoc atau secara santai,” katanya lagi.
BACA: Jika Karmaine menang PRK, Tanjung Piai akan lebih makmur - Lim Kit Siang
Walaupun bermula agak lewat, Faridah berusaha agar tidak kehilangan wang deposit. Beliau turut yakin dapat bertemu dengan seramai pengundi dari 27 pusat daerah mengundi Parlimen Tanjung Piai.
#Barisan Nasional #ekonomi #Faridah Aryani Abdul Ghaffar #Malaysia Memilih #nelayan #Pakatan Harapan #pekebun #peniaga #PRK Tanjung Piai #Tanjung Piai Memilih
;