Tangkis fitnah pembangkang dengan fakta
Bernama
Oktober 15, 2017 08:00 MYT
Oktober 15, 2017 08:00 MYT
Anggota sayap UMNO digesa melengkapkan diri dengan fakta bagi membolehkan mereka menangkis tohmahan dan fitnah pembangkang terhadap kerajaan.
Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Malaysia, Prof Emiritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata adalah penting bagi setiap jentera parti membantu membuktikan apa yang dimomokkan pembangkang mengenai parti dan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
"Kebelakangan ini pihak pembangkang melancarkan pelbagai serangan ke atas UMNO, justeru sebagai sayap kita perlu cuba jawab dengan fakta dan pelbagai cara untuk yakinkan rakyat tetap memilih UMNO sebagai parti pemerintah negara ini," katanya pada majlis penutupan Wacana Pendidikan anjuran Puteri UMNO, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi Biro Pendidikan Puteri UMNO Malaysia, Datin Azura Mohd Afandi.
Sementara itu, Azura berkata program wacana yang pertama kali diadakan itu antara lain menekankan elemen kepimpinan bagi memastikan semua anggota Puteri mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi selain persediaan ke arah PRU ke-14.
Kira-kira 300 anggota Puteri termasuk pengerusi biro pendidikan negeri seluruh negara menyertai wacana itu.
-- BERNAMA