Tangkap pemimpin pembangkang tindakan politik tidak bertamadun - Razman
Amirrul Rabbani
Mac 9, 2023 15:06 MYT
Mac 9, 2023 15:06 MYT
IPOH: Pas Perak menyifatkan tindakan menangkap pemimpin politik pembangkang dan menghadapkan mereka atas tuduhan yang didakwa ‘direka cipta’ sebagai tindakan politik yang tidak bertamadun.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mendakwa ‘plot drama’ itu dilihat secara jelas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mengeluarkan beberapa tuduhan kepada parti pembangkang sejak hari pertama memasuki pejabat.
“Kenyataan media Perdana Menteri dan Menteri Kewangan lebih menjurus kepada apa yang disifatkan ‘pembongkaran’ kerja keras kerajaan lalu yang dengan wajah yang hodoh.
“Angka-angka yang sentiasa berubah dan akhirnya di ‘serahkan’ kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) dan polis adalah tindakan menekan badan penguatkuasaan agar menerima tuduhan dan mencari serta mencipta apa apa sahaja yang boleh disifatkan sebagai ‘tidak betul’,” dakwanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dakwanya lagi, tindakan berkenaan bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia yang menjadi slogan perjuangan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.
Dalam pada itu, Razman meminta mana-mana pihak untuk tidak menjadikan tindakan politik balas dendam sebagai bayangan perjalanan politik terhadap kekecewaan lampau.
Tambahnya setiap parti politik yang berdaftar dalam negara ini sewajarnya menampilkan kematangan bersesuaian dengan tempoh kemerdekaan negara yang sudah menjangkau usia 70 tahun.
Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu meminta agar kerajaan ketika ini untuk bersifat matang dan menumpukan usaha membangunkan negara.
Katanya tindakan sebagai pembangkang dalam keadaan berkuasa hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik negara.
“Memberi fokus kepada perpaduan, meningkatkan ekonomi, membantu rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup serta kejatuhan mata wang negara adalah tugas utama kerajaan. Serahkan tugas penguatkuasaan kepada pihak berkuasa yang sedia ada,” katanya lagi.