Tangguhkan seketika persengketaan tajam rebut kuasa - Pemuda UMNO

Firdaus Azil
Oktober 19, 2020 17:10 MYT
Apa yang lebih utama sekarang ialah kerajaan mahupun pembangkang, sama-sama memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan rakyat, kata Asyraf Wajdi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menggesa kesemua ahli politik tanpa mengira parti mana untuk melakukan gencatan politik.
Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, apa yang lebih utama sekarang adalah semua pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang, untuk sama-sama memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan rakyat.
Ujarnya lagi, hal itu dianggap amat penting memandangkan senario masa kini benar-benar meresahkan rakyat, terutamanya penularan COVID-19, penguncupan ekonomi negara, serta isu pengangguran yang kian meningkat.
“Mungkin inilah saat terbaik kita sama-sama meletakkan perbezaan yang ada ke tepian, demi memberikan penumpuan kepada Agenda Perdamaian Nasional (National Reconciliation).
“Yang dimaksudkan dengan Agenda Perdamaian Nasional ini bukanlah bermakna kita mencairkan identiti mahupun ideologi perjuangan parti masing-masing.
“Sebaliknya Agenda Perdamaian Nasional ini memberikan keutamaan kepada parti-parti politik untuk menangguhkan seketika persengketaan yang tajam dalam soal perebutan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya yang ada perlu digemblengkan bersama untuk mendatangkan formula terbaik bagi membantu rakyat yang semakin terhimpit.
Ujarnya lagi, Agenda Perdamaian Politik adalah manifestasi ketulusan kepimpinan setiap parti siasah untuk menzahirkan nilai perjuangan sebenar yang bukan hanya seputar perebutan takhta, tetapi benar-benar untuk membantu rakyat.
“Perlu ada political will (iltizam politik), political commitment (komitmen politik) dan political sincerity (kejujuran politik) yang jitu untuk menjayakan agenda ini secara bersama.
“Jangan nanti kita dihukum oleh rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah isu-isu politik kuasa bagaikan tiada penghujung,” katanya lagi.
Pada 7 Oktober lepas, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut menggesa kesemua parti politik untuk berdamai sementara waktu, dan memberi tumpuan usaha menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Menurut pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tempoh berdamai yang dikenali sebagai “Pause Malaysia” itu amat perlu memandangkan situasi masa kini agak kritikal dan mendesak kepada rakyat.
“Tempoh berdamai antara semua parti politik (penting) kerana situasi kini amatlah mendesak rakyat. Rakyat sedang menderita. Janganlah ada lagi perebutan kuasa dari mana-mana parti politik dalam tempoh ini.
“Tidak ada PRU selagi ancaman COVID-19 masih berleluasa di Malaysia. Pihak kerajaan, pembangkang, dan Bebas (perlu) duduk semeja, wujudkan satu kerjasama melebihi kepartian dalam meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan nombor satu,” tegas Ahli Parlimen Muar itu lagi.
BACA: Hentikan sebentar perebutan kuasa, gesa Syed Saddiq kepada parti politik
#Asyraf Wajdi Dusuki #Pemuda UMNO #gencatan politik #PRU #UMNO #nilai #Parlimen #ekonomi #kerajaan #pembangkang #Malaysia #COVID-19
;