Tangguh pemilihan punca jajaran baru UMNO,PH - UMNO Gerik

Astro Awani
April 20, 2021 14:39 MYT
Kata Aznel, MT sendiri mampu membuat keputusan terbaik berdasarkan suara majoriti dan bukannya mengikut suara Ahmad Zahid. - Gambar fail/UMNO Online
KUALA LUMPUR: Penangguhan Pemilihan UMNO akan menjadi antara punca parti menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim menegaskan, pelbagai perkara boleh berlaku di dalam politik termasuk pemilihan pemimpin serta gabungan kerajaan yang akan memerintah.
"Bagi saya dalam politik sekarang macam-macam boleh berlaku kerana tidak seperti politik sebelum ini.
"Sebelum ini kita berpegang asas kepada perjuangan. Politik sekarang kita berpegang kepada siapa yang hendak memerintah, siapa yang hendak menjadi ketua atau pemimpin. Jadi boleh pilih kepemimpinan macam-macam, sebagai contoh, Pas bersama UMNO balik dan bersama Bersatu balik untuk memastikan hak kepentingan orang Melayu Islam ini terjamin. Boleh jadi.
"Boleh jadi juga BN bersama PH untuk membentuk kerajaan kerana bila kita melihat, politik sekarang walaupun UMNO sekarang ini mempunyai parti paling kuat, tetapi masih tidak mencukupi untuk tubuh kerajaan. Jadi parti-parti yang ada dalam negara kita ini akan mencari untuk kita cukupkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: 'Memalukan jika jajaran baharu UMNO libatkan PKR, DAP' - Shahidan Kassim
BACA: UMNO bincang isu pemilihan parti dalam mesyuarat MT Ramadan nanti - Ahmad Maslan
Sebelum ini, desas desus Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dijangka berlangsung hujung minggu ini.
Ia dikatakan menjadi penentu kelangsungan parti itu menjelang PRU15.
Ini kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi difahamkan akan menangguhkan pemilihan parti itu semaksima sehingga 18 bulan.
Jika pemilihan UMNO ditangguhkan, pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara BN, PN dan PH tidak mustahil berlaku.
Dalam pada itu kata Aznel, MT sendiri mampu membuat keputusan terbaik berdasarkan suara majoriti dan bukannya mengikut suara Ahmad Zahid.
"MT boleh buat keputusan terbaik. Apabila ada dalam jemaah, kena ambil keputusan, kalau keputusan MT kata tangguh, jadi kena ikut majoriti kata tangguh. Kalau keputusan MT kata buat (pemilihan), memang kena buat sebab ikut suara majoriti, bukan ikut suara Presiden," ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu akan memutuskan sama ada akan meneruskan pemilihan atau menangguhkannya dalam mesyuarat MT yang dijadualkan pada Ramadan.
Beliau bagaimanapun berkata tarikh mesyuarat itu belum ditetapkan buat masa ini.
#UMNO #PAS #Barisan Nasional #Melayu #PRU15 #Zahid Hamidi #Shahidan Kassim #Ahmad Maslan #Pemilihan UMNO #majlis tertinggi #pilihan raya #politik #pilihan raya umum #Politik Malaysia
;