Tangguh pemilihan: 'MCA kaji ikut jejak UMNO' - Tiong Lai
Wan Syamsul Amly
Jun 27, 2015 22:46 MYT
Jun 27, 2015 22:46 MYT
MCA akan mengkaji alasan penangguhan pemilihan UMNO yang dijadual berlangsung tahun depan sebagai langkah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, partinya juga mempertimbangkan keputusan UMNO itu yang diakui dapat memastikan tumpuan khusus terhadap kesepakatan parti di bawah komponen Barisan Nasional (BN)
"Saya lihat ini usaha untuk memastikan tumpuan yang khusus kepada perkhidmatan untuk rakyat; ia langkah bersiap sedia dan bersatu padu untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Kita akan mengkaji alasan yang diutarakan. Saya juga yakin semua parti mempunyai objektif yang sama iaitu misi PRU.
"Kita akan terus beri perkhidmatan kepada rakyat, kita hendak tumpukan kepada rakyat dahulu," katanya.
Tiong Lai berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian bangunan baru untuk pelajar pendidikan khas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Yoke di sini hari ini.
Pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, pemilihan UMNO yang dijadual berlangsung pada Perhimpunan Agung parti tahun depan ditangguh selama 18 bulan.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan kemantapan parti pada PRU ke-14 nanti.
Tambahnya, amalan itu juga dilakukan sama seperti yang dilakukan pada zaman bekas presiden parti sebelum ini.
Pemilihan jawatan Presiden MCA pada 2013 menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Tiong Lai, bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Gan Ping Sieu.