Tangguh, batal projek tindakan kurang bijak - Najib

Sinar Harian
Julai 18, 2022 19:27 MYT
NAJIB: -Apa guna sekiranya harga barang terkawal tetapi ekonomi negara menjadi corot memandangkan negara bakal berdepan dengan kemelesetan ekonomi tak lama lagi?" - Astro AWANI
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan kerajaan menangguh dan membatalkan projek untuk memberi tumpuan kepada beban subsidi adalah kurang bijak.
Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan, pemansuhan atau pembatalan projek seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbukti membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Cara untuk membantu rakyat ketika kadar inflasi dunia tinggi bukan sahaja dengan memberi subsidi untuk kawal harga tetapi menaikkan gaji rakyat, membina kekayaan rakyat melalui pasaran saham dan tabung simpanan serta memberi peluang untuk rakyat meniaga.
“Hutang negara juga boleh terkawal sekiranya kadar pertumbuhan ekonomi lebih laju berbanding kadar kenaikan hutang dan kadar kenaikan bayaran servis hutang.
“Sebab itu, projek-projek yang membawa kepada kadar pulangan ekonomi lagi besar berbanding kos faedah hutang ataupun tidak menggunakan dana bajet tahunan kerajaan secara terus patut diteruskan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
BACA: Kerajaan tangguh, tidak teruskan projek belum bermula
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, semua projek pembangunan yang belum dimulakan, akan ditangguh atau dibatalkan terus sebagai menyahut langkah penjimatan dalaman yang diarahkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk 'Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam'.
Dalam pada itu Najib berkata, projek kerajaan terutama projek yang saiz signifikan memerlukan masa yang panjang untuk digerak dan dilaksanakan.
Justeru, sekiranya dibatal atau tangguhkan projek berkenaan, maka memerlukan masa yang lebih lama untuk kerajaan hidupkan semula projek sekiranya mahu merancakkan ekonomi ketika negara berdepan kemelesetan.
“Apa guna sekiranya harga barang terkawal tetapi ekonomi negara menjadi corot memandangkan negara bakal berdepan dengan kemelesetan ekonomi tak lama lagi?
“Jangan short-sighted, nanti negara jatuh ke keadaan staglation (iaitu inflasi masih tinggi tapi ekonomi turut meleset) baru kita kesal.
“Jangan lihat masalah di depan mata sahaja tetapi tak nampak cabaran yang bakal berlangsung tak lama lagi. Kerajaan perlu proaktif untuk bersedia menyelesaikan masalah masa depan dan bukan hanya reaktif untuk selesaikan masalah ketika ini sahaja,” katanya.
*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian
#najib #tangguh projek #Kerajaan PH #Mustapa Mohamed
;