Tangani persepsi ahli UMNO - Mukhriz Mahathir

Astro Awani
Ogos 14, 2015 10:02 MYT
Mukhriz melihat mesyuarat yang diadakan di seluruh negara ketika ini sebagai medan terbaik menyelesaikan sebarang pertikaian.
UMNO perlu memulihkan persepsi ahlinya berhubung defisit kepercayaan dan integriti, sebelum mendapatkan semula mandat daripada rakyat yang semakin hilang keyakinan terhadap parti itu.
Peringatan disuarakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berpendapat proses itu sebagai asas penting bagi membolehkan ia diterjemah dalam bentuk sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.
Berucap ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Kemaman pada Khamis, Mukhriz berkata kepimpinan UMNO seharusnya jujur dan bertanggungjawab dalam merungkai segala permasalahan parti.
"Dalam usaha kita menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak yang mewakili rakyat itu sendiri, adakalanya kita kurang tepat, atau tidak tepat, maka timbullah bermacam-macam masalah lagi.
"Keyakinan rakyat yang agak longgar ketika ini seolah-olah diambil mudah oleh kita, kita tidak kisah, kalau percaya, percayalah, kalau tidak, tak mengapa, saya ingat, lagi besar masalahnya, apabila rakyat tanya kita satu soalan, lain pula yang kita jawab," jelas Mukhriz.
Beliau juga melihat mesyuarat yang diadakan di seluruh negara ketika ini sebagai medan terbaik menyelesaikan sebarang pertikaian.
"Kita perlulah mengambil kesempatan dalam musim mesyuarat perwakilan peringkat sayap, peringkat bahagian, untuk memberi perhatian kepada soal ini.
"Kalau waktu ini pun, sesama kita saja, umpama mesyuarat tertutup, kita tidak bangkitkan perkara penting, perkara asas seperti ini, saya risau bahawa kita sebenarnya syok sendiri.
"Kemudian masalah tidak selesai, dan bila kita berhadapan dengan rakyat, mereka melihat kita masih tidak, tegas Mukhriz.
#1MDB #Barisan Nasional #Kedah #Menteri Besar #Muhyiddin Yassin #Mukhriz Mahathir #Najib Razak #UMNO
;