Tangani Pas: Kenyataan Ramasamy lucu, dangkal - Takiyuddin

Afiezy Azaman
Mei 22, 2023 09:24 MYT
Takiyuddin (kanan) mendakwa Ramasamy (kiri) tidak dapat menyembunyikan prejudisnya yang tebal terhadap Islam dan orang Melayu.
KUALA LUMPUR: Pas menyelar Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy susulan kenyataan dibuatnya berhubung parti itu dalam artikel bertajuk 'Kerajaan perlu strategi lain bagi tangani Pas'.
Menurut Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kenyataan Ramasamy di dalam artikel berkenaan dianggap 'melucukan, dangkal, malah cacat daripada banyak segi'.
Katanya, Ramasamy tidak memperakui kegagalan berterusan Kerajaan Perpaduan dalam memenangi kepercayaan rakyat sejak membentuk kerajaan pada tahun lepas.
Ia juga, katanya, merupakan satu percubaan lemah untuk menjadikan Pas sebagai kambing hitam atas kegagalan itu.
"Tindak-tanduk, kenyataan dan dasar kerajaan yang caca-merba, bercelaru, saling bercanggahan, selain kegagalan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional menunaikan janji-janji yang pernah dibuatnya sebelum ini adalah punca utama kepada kemerosotan pengaruh dan imejnya di mata rakyat.
"Ia tidak sekali-kali mempunyai sebarang kaitan dengan Pas atau kecenderungan orang Melayu menyokong Pas.
"Momok 'cakap tak serupa bikin' yang meniti dari mulut ke mulut rakyat hari ini berkaitan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah manifestasi kegagalan itu.
"Dan sebagai pembangkang, Pas tidak campur tangan atau bertanggungjawab ke atas momokan tersebut.
"Justeru, daripada menjadikan PAS kambing hitam atau kesedaran agama dalam kalangan orang Melayu sebagai musuh perpaduan, adalah lebih berfaedah dan jujur sekiranya Ramasamy bercakap secara berterus terang kepada kerajaan yang disertai partinya, supaya memperbaiki diri dengan dasar dan sikap yang lebih layak bagi sebuah kerajaan yang dikatakan berwibawa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin pada masa sama memuji kenyataan yang disifatkannya berani oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dalam mengkritik keterlanjuran dan kesilapan kerajaan berhubung banyak isu.
Katanya, ia contoh yang baik berhubung sikap seorang penyokong yang jujur dan berhemah bagi menangani masalah dan kecamuk yang dihadapi oleh kerajaan secara dalaman.
Takiyuddin menggesa Ramasamy mencontohi Hassan dan tidak menyorok masalah dalaman kerajaan dengan menjadikan pihak lain sebagai sasaran.
"Sebagai sebuah parti yang terlibat dalam politik negara sejak sebelum merdeka lagi, Pas amat maklum dan insaf tentang kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat negara kita yang berbilang kaum dan agama.
"Sejarah membuktikan ketika negara terjerumus dalam konflik kaum yang paling buruk pun sebelum ini, negeri-negeri yang merupakan kubu kuat Pas terus aman tenteram dari segi perpaduan dan keselamatan antara kaum.
"Namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan benar bagi negeri-negeri yang kini dianggap sebagai kubu kerajaan," ujarnya.
Tambah Takiyuddin, keadaan itu berlaku bukan sahaja disebabkan oleh ajaran Islam yang sentiasa terbuka kepada kepelbagaian sebagai tanda kebesaran dan keadilan Tuhan, tetapi juga merupakan manifestasi budaya orang Melayu yang sederhana dan sentiasa bertolak-ansur terhadap semua pihak, termasuk mereka yang berlainan kaum atau agama.
"Tanpa perlu berhujah terlalu panjang, kehidupan masyarakat berbilang kaum yang aman di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah bukti hidup dan kekal akan hakikat itu.
"Dalam pada itu, kenyataan beliau yang seolah-olah menisbahkan kesedaran beragama orang Melayu sebagai halangan kepada perpaduan masyarakat bukan sahaja cacat dan cela, malah berlawanan dengan realiti yang wujud dan diketahui umum.
"Kesedaran dan amalan beragamalah yang sentiasa menjadi tunjang dan teras kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, bukan sebaliknya seperti yang cuba beliau isyaratkan," kata beliau.
Takiyuddin mendakwa Ramasamy tidak dapat menyembunyikan prejudisnya yang tebal terhadap Islam sebagai agama dan juga orang Melayu sebagai kelompok kaum majoriti di negara ini.
"Perlu juga ditegaskan bahawa ini bukanlah kali pertama beliau mempamerkan belangnya itu kepada rakyat dan negara," katanya.
#Takiyuddin Hassan #P Ramasamy #PAS #Melayu
;