Tan Kok Yew pertahan jawatan Pengerusi DAP Kedah

Abdul Hadi Awang
Mac 19, 2021 14:17 MYT
Kok Yew berkata, pemilihan AJK bagi penggal kali ini hanya melibatkan 15 calon yang kesemua mereka menang tanpa bertanding. - Gambar/ Astro AWANI
ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Derga yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Tan Kok Yew mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi DAP Kedah dalam Pemilihan Jawatankuasa DAP negeri pada Jumaat.
Sementara itu, calon 'muka baharu', Siau Suen Men dipilih sebagai timbalan pengerusi, selain jawatan setiausaha kekal disandang Adun Kota Darul Aman, Teh Swee Leong.
Bekas timbalan pengerusi bagi penggal sebelum ini, G Karunagaran dan Zulhazmi Shariff pula dilantik sebagai naib pengerusi.
Bagi jawatan penolong setiausaha, bendahari dan penolong bendahari, disandang Liew Eng Wah, Beh Poh Kheng dan Pua Siew Hoon.
Sementara itu, turut dipilih sebagai AJK ialah Loke Chin Giap, Tan Kim Ping, Koh Hui Im, Mohd Shubihi Muhamad Zain, Ong Khar Hong, K. Puvaneswary, Khoo Khim Han, Lee Keen Chong, Lee Weng Hong, Lim Yoke Pheng, Ooi Chong Maw, Tok Chui Lai.
Pengerusi DAP negeri dalam sidang media menyatakan bahawa pemilihan AJK bagi penggal kali ini hanya melibatkan 15 calon yang kesemua mereka menang tanpa bertanding.
"Sebenarnya (pada awalnya) kita dapati lebih daripada 15 orang tetapi apabila kita bincang dan mereka (ahli DAP) rasa yang penting adalah menyumbang untuk perkembangan DAP, maka ada antara mereka (termasuk) Ketua Pemuda (DAP Negeri) setuju (untuk) fokus dekat bahagian (atau sektor) Pemuda, akhirnya kita dapat 15 orang untuk bertanding maka secara automatik 15 orang ini menjadi Ahli Jawatankuasa terbaru untuk DAP negeri," katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berucap menyempurnakan Konvensyen Biasa DAP negeri Kedah yang diadakan di sebuah hotel di Alor Setar lewat petang tadi.
Konvensyen berkenaan dihadiri kira-kira lebih 357 perwakilan yang merupakan jumlah perwakilan tertinggi yang pernah dicatatkan sejak penubuhan DAP di negeri itu.
#DAP #Kedah #Adun Derga #Pengerusi DAP Kedah #Tan Kok Yew #Pemilihan Jawatankuasa DAP