'Tambah wakil Ahli Dewan Negara dari Sabah, Sarawak'
Ruzaini Zulkepli
Mac 30, 2018 20:01 MYT
Mac 30, 2018 20:01 MYT
Penambahan jumlah wakil Ahli Dewan Negara daripada Sabah dan Sarawak harus dipertimbangkan bagi menguatkan lagi suara wakil-wakil rakyat di Kepulauan Borneo.
Ia juga akan memastikan jurang di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dapat dikurangkan, kata Senator Datuk Jamilah Sulaiman.
Katanya, penambahan senarai Ahli Dewan Negara daripada kedua-dua negeri itu juga dapat memastikan suara golongan muda dapat diutarakan.
Jelasnya yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) (kuota Bumiputera Islam) itu berpendapat, sekiranya cadangan terbabit dapat direalisasikan, maka isu-isu seperti "Sabah untuk Sabahan" atau "Sabah Sarawak Keluar Malaysia" (SSKM) yang dikenal pasti banyak membelenggu golongan muda di negeri ini, mampu diatasi.
"Perwakilan di dalam Dewan Negara kini kebanyakkannya wakil-wakil daripada Semenanjung berbanding Sabah dan Sarawak.
"Jadi kita harap supaya generasi muda akan menerima keadilan. Isu-isu seperti 'Sabah for Sabahan' dan yang amat sensitif iaitu 'Sabah Sarawak Keluar Malaysia' akan dapat kita minimakan atau atasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Kota Kinabalu, hari ini.
Kelmarin, seorang Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Senator Datuk Prof Dr Sim Kui Hian memuat naik satu gambar menyarankan agar pemimpin Sabah dan Sarawak memenuhi satu pertiga kerusi Parlimen.
Kui Hian turut menyarankan perkara itu dimulakan di peringkat senator Ahli Dewan Negara.
"Kita amat bersetuju dengan pendapat Kui Hian kerana memandangkan Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan, sosial dan ekonomi rakyat, di sinilah letaknya tanggungjawab terutamanya ahli-ahli Dewan Rakyat dan juga ahli-ahli Dewan Negara," kata Jamilah.
"Kita banyak pemimpin dari Sabah dan Sarawak yang dapat mengutarakan masalah rakyat supaya jurang dapat dikurangkan," tambahnya.
Sementara itu, pandangan Kui Hian juga mendapat sambutan dari Senator Datuk Abd Ghani Mohd Yassin.
.
Ketika dihubungi, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pensiangan berkata, Kerajaan Barisan Nasional telah pun mengetengahkan pemimpin Sabah dan Sarawak menerusi pelantikan Ahli Parlimen dalam Kabinet Persekutuan.
Untuk rekod, 11 daripada 35 menteri penuh Kabinet Persekutuan terdiri daripada pemimpin Sabah dan Sarawak, dan ini bersamaan satu pertiga perwakilan.
"Menerusi penambahan senarai Ahli Dewan Negara dari Sabah dan Sarawak, saya yakin suara serta permasalahan rakyat dapat terus diperjuangkan," tambahnya.
#Dewan Negara
#Jamilah Sulaiman
#Parlimen
#Parti Bersatu Sabah
#Sabah
#sabah sarawak keluar malaysia
#sabah untuk sabahan
#Sarawak
#sim kui hian
#wakil rakyat