Tamak kuasa untuk yang enggan bubar DUN - Zahid Hamidi
Afiezy Azaman
Oktober 11, 2022 10:45 MYT
Oktober 11, 2022 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan dakwaan pihak pembangkang yang menyatakan Barisan Nasional (BN) tamak kuasa apabila meminta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
Sebaliknya, Presiden UMNO itu berkata, gabungan politik tamak kuasa adalah sesuai untuk yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai mereka agar terus kekal mempertahankan kuasa.
"Enggan menyerahkan kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu kerana bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan dan sanggup menyebabkan pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir akan kehilangan kuasa.
"BN jika tamak kuasa seperti mereka boleh tidak membenarkan negeri yang ditadbirnya tidak membubarkan DUN, namun bukan itu tujuan politik BN. Alasan risiko 'banjir besar' juga sudah tidak lagi relevan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU15 berlangsung sebelum pertengahan November depan, "katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Ahmad Zahid menggesa rakyat untuk menolak gabungan yang didakwa tamak kuasa dan tidak mempedulikan masa depan rakyat dan negara kecuali kepentingan politik mereka.
Menjelaskan lanjut, beliau menyatakan 'dalil' baharu itu bertujuan mencipta persepsi jahat terhadap BN itu terpesong jauh daripada kebenaran mengenai tujuan sesebuah pilihan raya.
"Pertamanya, sesebuah pilihan raya termasuk PRU-15 bermaksud menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu. Pilihan raya umum, kecil mahupun negeri adalah sebuah proses demokrasi melalui peti undi yang boleh disertai mana-mana parti politik atau individu yang layak.
"PRU15 bukan 'upacara' menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada BN tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian rakyat yang menentukan. Justeru, dimanakah yang dikatakan BN tamak kuasa sedangkan yang berlaku pada PRU15 adalah rakyat diberi mandat dan kuasa sepenuhnya untuk menentukan masa depan negara," ujarnya.
Pada Isnin, DAP menghormati keputusan membubarkan Parlimen mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan, tetapi kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata langkah untuk tidak membubarkan DUN melibat Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilaan adalah selari dengan keputusan Majlis Presiden PH.