Taktik penangguhan UMNO untuk kenal pasti sokongan - Penganalisis

Hamzah Hamid
Jun 28, 2015 09:39 MYT
SHAHARUDDIN: Pemimpin parti mungkin sudah tahu siapa yang menyokong atau sebaliknya dan mungkin juga akan berlaku rombakan dalaman.
Keputusan menangguhkan Pemilihan UMNO oleh selama 18 bulan daripada jadual Perhimpunan Agung parti tahun depan seperti yang diumumkan Presiden parti Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai usaha memanjangkan hayat politik individu dan parti.
Menurut pandangan penganalisis politik Prof Madya Dr Shaharuddin Baharuddin, penangguhan tersebut mempunyai beberapa tujuan selain sebagai usaha mengelakkan perpecahan parti.
"Tindakan yang sama pernah terjadi pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ia adalah peluang untuk parti mengatasi konflik dalaman yang boleh membawa perpecahan dalam parti.
"Ini suatu tindakan politik biasa yang kita boleh katakan sebagai taktik penangguhan untuk memungkinkan Najib mengekalkan kedudukannya," ulasnya.
Mengenai tempoh penangguhan tersebut dan kesannya, Shaharuddin berpendapat bahawa semuanya bergantung kepada keadaan.
"Dalam tempoh tersebut, pemimpin parti mungkin sudah tahu siapa yang menyokong atau sebaliknya. Mungkin juga akan berlaku rombakan dalaman," katanya.
Mengambil contoh senario semasa, Shaharuddin memetik beberapa isu kontroversi seperti syarikat pelaburan Negara 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan juga Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Semua itu, katanya, menimbulkan perdebatan di peringkat akar umbi yang mahukan penjelasan supaya situasi tersebut dapat ditangani.
"Maka penangguhan (pemilihan parti) adalah untuk mengenal pasti arah dan sumber sokongan selain beberapa proses rundingan serta perbincangan dijalankan.
Hadapi pilihan raya
Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa dari Majlis Profesor Negara Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak berpendapat tujuan utama keputusan penangguhan dibuat adalah bagi memastikan UMNO benar-benar bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.
Menurutnya, UMNO mahu memastikan parti dalam keadaan kuat dan tidak berpecah-belah sebelum pilihan raya tersebut dilangsungkan.
"Ini juga bagi memastikan ‘rumahtangga’ UMNO tidak mempunyai sebarang masalah dari sudut kerjasama, perpaduan dan kekuatan.
"Semua itu diperlukan parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang sekali gus mempertahankan kuasanya," ujar Mohamed Mustafa.
Beliau berpendapat, jika ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal daripada 2018, pihak Majlis Tertinggi UMNO mahukan keadaan parti bebas daripada pergeseran atau perpecahan.
"Kaedah pemilihan paling baik adalah yang dapat menterjemahkan hasrat akar umbi UMNO ke peringkat atasan, termasuk siapa yang dimahukan untuk memimpin parti.
"Pemilihan itu mestilah bersifat demokratik, iaitu suara akar umbi diambil kira dan menjadi suara yang menentukan pucuk pimpinan UMNO. Selagi prinsip itu dipertahankan, apa juga kaedah tak menjadi masalah," ujarnya.
#Dr Mahathir #Najib Razak #Shaharuddin Baharuddin #UMNO
;