Tak salah mana-mana parti tanam hasrat jadi dominan - Shafie

Ruzaini Zulkepli
Ogos 26, 2019 21:29 MYT
MOHD SHAFIE: Semua parti nak (jadi) dominan, DAP nak dominan, PKR nak dominan, UMNO yang kalah pun nak dominan. - Foto BERNAMA
Tidak menjadi kesalahan sesebuah parti politik yang berada di Sabah menanam hasrat untuk menjadi dominan.
Itulah yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung isu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang menyatakan hasrat untuk menjadi parti dominan di negeri ini di masa hadapan.
Jelas beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), sebagai ahli atau gerakan politik, perkara itu adalah normal untuk mana-mana parti.
"Semua parti nak (jadi) dominan, DAP nak dominan, PKR nak dominan, UMNO yang kalah pun nak dominan. Ia adalah politik normal, okey tidak jadi masalah," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Celcom Home di Kota Kinabalu, pada Isnin.
Mohd Shafie berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor semalam.
Dalam laporan Astro AWANI pada Ahad, Hajiji ketika ditemuramah di sebuah majlis di Tuaran menyatakan hasrat supaya Bersatu menjadi parti dominan di negeri Sabah.
BACA: Bersatu Sabah berhasrat jadi parti dominan negeri itu
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sentiasa memberi kerjasama dengan Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh Warisan demi kebaikan rakyat di negeri ini.
Sementara itu, mengulas isu yang sama, Mohd Shafie berkata, setiap parti politik di Sabah sememangnya berharap menjadi satu entiti kuat.
Namun tegasnya, apa yang penting adalah kerjasama dan persefahaman bagi mengekalkan kuasa untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah.
"Yang penting pastikan bahawa kerajaan sedia ada ini dapat kita kekalkan, yang penting adalah kerjasama, persefahaman untuk pastikan kuasa yang ada ini kita dapat jayakan.
"Saya sudah bertemu dengan mereka sebenarnya, seingat saya sebulan yang lalu Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Hajiji ada berjumpa dengan saya dan saya telah nyatakan," katanya.
Untuk rekod, Bersatu melebarkan sayapnya di Sabah pada 6 April lalu dengan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri merasmikan pelancaran parti berkenaan di negeri ini.
#Bersatu Sabah #DAP #Ketua Menteri Sabah #Mohd Shafie Apdal #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Parti Warisan Sabah #UMNO #Warisan
;