Tak salah berunding untuk tubuh kerajaan - Nazri
Astro Awani
Oktober 14, 2024 23:39 MYT
Oktober 14, 2024 23:39 MYT
WASHINGTON: Mengadakan rundingan untuk membentuk sebuah kerajaan bukan satu kesalahan, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Mohamed Nazri menegaskan rundingan antara parti untuk membentuk kerajaan merupakan perkara biasa dalam amalan demokrasi.
Katanya, yang menjadi kesalahan adalah bila berlakunya cubaan membeli Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan bagi menubuhkan kerajaan.
“Jika tidak ada majoriti bukan satu kesalahan untuk rundingan diadakan bagi membentuk sebuah kerajaan.
“Yang salah adalah apabila ada pihak cuba membeli Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan.
“Jika Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berunding dengan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) ia tidak salah kerana tidak ada pihak yang dapat menubuhkan kerajaan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Beliau menjelaskan, dalam situasi tidak ada pihak yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, rundingan perlu dibuat untuk memastikan sebuah kerajaan baru dapat dibentuk.
Katanya, sekiranya Barisan Nasional kalah di Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lalu, Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua parti yang mendapat kerusi paling tinggi.
“Ketika itu Pakatan Harapan (PH) mendapat 82 kerusi, dan katalah Shamsul (Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin) menang di Bagan Datuk, PH akan ada 83 kerusi, maka Yang di-Pertuan Agong tentulah akan memanggil Anwar terlebih dahulu.
“Perikatan Nasional (PN) ketika itu hanya ada 70 lebih kerusi, masih kurang berbanding PH.
“Memang perlembagaan sebut pihak yang mempunyai 112 kerusi, tetapi apa yang PN buat adalah dapatkan sokongan dari Ahli Parlimen tertentu dari BN.
“Ini bertentangan dengan Akta Antilompat Parti yang telah diluluskan yang mengatakan perlu sokongan parti bukan individu. Sokongan untuk mengukuhkan kerajaan bukan menjatuhkan kerajaan,” katanya lagi.
Mohamed Nazri juga menjelaskan, tindakan menyalahkan Ketua Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mendedahkan perkara ini bukan satu tindakan bijak.
Beliau menegaskan apa yang didedahkan oleh Shamsul itu hanyalah satu perkara yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Nak marah Shamsul buat apa sebab yang dia cakap itu kita tidak pasti benar atau tidak.
“Kalau betul buat kiraan semula pada malam penjumlahan undi itu, adakah semua 800 undi rosak itu akan pergi kepada Shamsul? Tidak juga.
“Jadi pada saya apa yang Shamsul cakap itu hanyalah cerita dari pihak dia.
“Apa yang Shamsul lakukan adalah merupakan amalan kebebasan bersuara yang merupakan salah satu asas dalam demokrasi.
“Pada saya yang marahkan Shamsul dalam isu ini agak kurang cerdiklah,” katanya.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa telah berlaku rundingan antara Anwar dan Zahid sebelum PRU16, Mohamed Nazri menegaskan berlakunya pertandingan tiga penjuru merupakan bukti tiada sebarang rundingan.
“Kalau Anwar dan Zahid dah berunding sebelum PRU16 tentulah berlaku pertandingan satu lawan satu antara BN dan PN atau antara PH dan PN.
“Yang berlaku adalah pertandingan tiga penjuru, bermakna semua parti mahu membentuk kerajaan sendiri.
“Bila malam keputusan sudah ada tanda tidak ada pihak ada majoriti, maka perlu lah ada rundingan,” katanya.
Isu rundingan antara Anwar dan Zahid kembali menjadi perbualan selepqs Shamsul mendedahkan dalam satu podcast bahawa beliau dihubungi oleh Anwar agar tidak meminta kiraan semula kerana telah wujud persetujuan untuk membentuk kerajaan antara PH dan BN.