Tak salah bagi elaun perjalanan kepada pengundi - SPR

Haider Yutim
Mei 5, 2015 06:15 MYT
Tak salah bagi elaun perjalanan kepada pengundi - SPR
Tidak salah untuk sesebuah parti politik memberi elaun perjalanan kepada pengundi, kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Katanya beliau telah bertanya dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diberitahu bahawa tindakan itu tidak salah dan tidak dikira sebagai rasuah.
Bagaimanapun menurut beliau, ia hanya akan menjadi kesalahan jika pemberi itu meminta penerima tersebut mengundi calon tertentu dan membuktikan bahawa dia telah mengundi calon itu.
“Contohnya dia bagi duit tambang balik ke Sarawak, ataupun ke Sabah naik kapal terbang.
“Dia tak cakap kamu kena undi orang ini dan bukti pada saya kamu undi orang ini… itu tidak boleh,” katanya pada sidang media sempena pilihan raya kecil (PRK) Rompin hari ini.
Meskipun begitu, katanya adalah sukar untuk membuktikan bahawa seseorang itu sudah mengundi calon yang diminta kerana undi itu adalah rahsia.
Katanya, jika elaun itu diberi demi memudahkan para pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka, ianya tidak menjadi kesalahan termasuk kesalahan di bawah peraturan SPR.
“Tak ada… tak langgar apa-apa undang-undang pilihan raya. Ni macam bayar elaun,” kata Abdul Aziz lagi.
Terdapat dakwaan bahawa beberapa pengundi diberi wang saku sebagai elaun perjalanan di pondok-pondok panas parti politik semasa hari pengundian PRK Rompin.
Namun, jelasnya pihak SPR tidak menggalakkan pemberian elaun sedemikian.
Sementara itu, SPR turut menyelar penyokong-penyokong parti yang masih meraih undi walaupun tempoh berkempen telah tamat.
“Tempoh rasmi berkempen telah tamat jam 12.00 malam, tetapi masih ada penyokong yang meraih dan merayu berhampiran jalan di pusat-pusat mengundi.
“Saya harap mereka hentikan kerana masa ini tak dibenarkan lagi berkempen walau apa sekali pun,” tegasnya.
Ditanya sama ada penyokong-penyokong berkenaan akan dikenakan tindakan, beliau berkata, pihaknya akan menyerahkannya kepada pihak penguasa SPR.
Sungguhpun begitu, katanya mereka “tidak lah teruk sangat’ kerana tiada sebarang provokasi atau pergaduhan di antara parti yang berlaku.
Abdul Aziz juga mengesyaki bahawa kumpulan penyokong tersebut rata-ratanya terdiri dari orang luar dan bukan penduduk tempatan.
Setakat jam 12.00 tengah hari, jumlah pengundi yang keluar membuang undi bagi PRK Rompin ialah 29,935 atau 56.2 peratus.
Menurut SPR, purata peratusan yang keluar mengundi dalam sejam adalah sangat tinggi iaitu sebanyak 12 peratus.
Selain itu, SPR juga menasihatkan supaya pengundi keluar awal dan tidak mengunggu hingga saat akhir ketika pusat mengundi hendak ditutup.
#BN #PAS #Rompin