Tak perlu gali sejarah hitam UMNO dan PAS - Asyraf Wajdi
Bernama
Disember 18, 2015 18:07 MYT
Disember 18, 2015 18:07 MYT
Cubaan menimbulkan kembali sejarah perselisihan faham antara PAS dan UMNO hanya akan menjejaskan agenda perpaduan ketika ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebaliknya, kata beliau, kedua-dua parti itu perlu mula memandang ke arah permuafakatan supaya ia dapat menjamin kepentingan umat Islam di negara ini.
"Kenapa perlu gali dan selongkar segala isu-isu lama, yang hakikatnya generasi sekarang tak pernah ada dalam zaman itu, bahkan majoriti pemimpin sekarang tak ada dalam 'baggage' itu, sejarah itu.
"Kalau kita nak cakap soal perpaduan, permuafakatan itu yang paling penting. Kedua-dua pihak harus berlaku jujur dan ikhlas dan tak perlu lagi membicara soal kelemahan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menutup Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai sikap sesetengah pihak yang seolah-olah tidak senang dengan agenda perpaduan antara dua parti politik itu, dan sengaja menimbulkan kembali perkara-perkara yang menjadi titik tolak pertelagahan antara PAS dan UMNO.
Kekuatan, kelemahan
Timbalan menteri itu berpendapat UMNO dan PAS masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri, dan adalah lebih baik kiranya kedua-dua parti politik itu menumpukan usaha untuk bergerak ke arah perpaduan seperti yang dituntut dalam syariat Islam.
Terdahulu dalam ucapan penutupannya, Asyraf Wajdi berkata negara memerlukan satu garis panduan dan muzakarah berterusan, dipelopori oleh ulama yang berperanan sebagai kuasa ketiga bagi membantu pemimpin negara yang mempunyai fahaman politik dan ideologi yang berbeza.
"Kita tahu ulama yang seharusnya memandu pemimpin dan negara kerana, apabila mereka bercakap tentang sesuatu mereka mesti ada kredibiliti, apatah lagi apabila ulama itu bercakap melangkaui mana-mana parti politik dan tidak terikat dengan mana-mana ideologi politik.
"Saya merasakan sejujurnya ini harus dilakukan oleh kuasa ketiga, ia tidak boleh dilakukan oleh UMNO, walaupun saya adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO, dan PAS juga tidak boleh lakukan kerana parti politik sentiasa ada kepentingannya," katanya.
Asyraf Wajdi menjelaskan perpaduan yang ditunjangi kepentingan politik tidak akan berkekalan kerana hanya kesatuan yang dibentuk berasaskan agama akan terpelihara dan mendapat berkat daripada Allah.
Kefahaman Islam
Beliau berkata sekiranya agenda perpaduan diasaskan oleh kepentingan politik, kepentingan untuk memenangi pilihan raya atau kepentingan bersifat duniawi yang tidak ada hala tujunya, ia akan menjadi retorik dan tidak berkekalan.
"Tetapi kalau perpaduan dan kesatuan itu diasaskan dan ditunjang oleh kefahaman Islam yang tuntas apabila kita bermuafakat dan sepakat demi Islam dan umat Islam, rahmat dan barakah Allah pasti ada.
"Kita tak perlu risau sama ada soal kita dianiaya, diperlekehkan, diperbudakkan, diperbodohkan, ditipu kerana kita dipelihara oleh Allah kerana kita melaksanakan apa yang dituntut oleh Allah. Ini yang perlu digerakkan oleh kuasa ketiga tadi," katanya lagi.
Seminar tiga hari itu bertemakan 'Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi' dan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, menyaksikan tujuh resolusi dibentangkan hasil perbincangan serta kertas kerja perwakilan.
Resolusi itu, antara lain, mahukan kerjasama PAS dan UMNO direalisasikan menjangkaui ideologi politik masing-masing demi kepentingan umat Islam dan negara.
Selain itu, konsep Wasatiyah, seperti yang diilhamkan Najib sebelum ini, perlu diperkasakan dalam pelbagai bidang bagi mendepani cabaran yang dihadapi umat Islam ketika ini.