Tajuddin tolak penggantungan keahliannya
Sinar Harian
Januari 13, 2023 17:14 MYT
Januari 13, 2023 17:14 MYT
SHAH ALAM: Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menolak penggantungan keahliannya kerana berpendapat keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu dibuat berdasarkan tohmahan dan fitnah.
Tajuddin berkata, pelbagai konspirasi dibuat bagi menjatuhkannya termasuk tuduhan mensabotaj ketiga-tiga calon yang bertanding dalam kawasan Parlimen Pasir Salak.
Menurutnya, ia merupakan satu fitnah yang berniat jahat dan tidak benar sama sekali.
"Untuk makluman, saya menerima dengan hati terbuka keputusan pucuk pimpinan yang tidak menamakan saya semula sebagai calon ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Sepanjang tempoh itu, saya berkempen siang dan malam selain menyuntik semangat serta menghulurkan bantuan kewangan kepada jentera parti berjumlah melebihi RM1 juta," ujarnya melalui surat penolakan terhadap penggantungan keahlian yang diserahkan pada Khamis.
Tajuddin menamakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam surat berkenaan.
Tindakan itu dibuat susulan MKT UMNO memutuskan menolak rayuan permohonan Tajuddin berhubung penggantungan keahliannya.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, penggantungan Tajuddin berkuat kuasa 5 Januari 2023.
Tambah Tajuddin, beberapa hujah penolakan keputusan itu antaranya tidak ada sebarang surat tunjuk sebab diberikan oleh Majlis Tertinggi atau Lembaga Disiplin (LD) merujuk kepada apa-apa kesalahan yang dilakukan.
"Selain itu, saya juga tidak dipanggil untuk membela diri di hadapan LD ataupun MKT berhubung apa jua dakwaan.
"Oleh itu, saya memohon kepada MKT supaya memberikan keadilan serta menarik balik keputusan penggantungan itu dengan seberapa segera bagi mengembalikan semula perpaduan dan keutuhan UMNO Pasir Salak," jelasnya. -- Sinar Harian