Tajuddin sah tanding Naib Presiden UMNO
Rahimah Abdullah
Jun 3, 2018 18:36 MYT
Jun 3, 2018 18:36 MYT
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti 30 Jun ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak pada masa sama berjanji untuk bekerja habis-habisan untuk membangkitkan semula semangat UMNO.
“Saya dengan ini memohon restu dan pertolongan Allah untuk menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO dan saya berjanji depan kawan-kawan saya ini saya akan bekerja habis-habisan dan turun padang di bahagaian untuk membangkitkan obor semangat UMNO," katanya.
Pada masa sama, beliau berjanji untuk menjadi Naib Presiden UMNO yang bukan 'Yes Man' dan pengampu pemimpin.
“Saya takkan jadi Naib Presiden yang 'Yes Man', pengampu, saya akan bercakap lantang dengan prinsip, dan saya akan bercakap benar sekiranya dipilih,” tegas beliau.
Sebelum ini katanya, ramai yang tidak sedar dengan ketegasan beliau yang berani mempersoalkan banyak isu yang terpalit dengan parti termasuk 1MDB.
“Ramai tidak tahu, isu 1MDB, soal sumber kewangan pada akar umbi di cawangan dan bahagian, saya perjuang tetapi saya hanyalah pemimpin kecil. Saya telah bercakap (ketika itu).
“Namun, itu dijadikan sebagai iktibar. Sekarang, siapa saja presiden (UMNO) kena dengar cakap Naib Presiden,” ujar beliau.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan bertanding jawatan sama pada pemilihan parti.
Majlis Tertinggi UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan UMNO dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri parti dimulakan pada 19 Mei 2018 sehingga 10 Jun 2018.
Mesyuarat UMNO di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.
#1MDB
#Khairy Jamaluddin
#majlis tertinggi
#Naib Presiden UMNO
#Parlimen
#pemilihan
#Pemuda UMNO
#presiden
#tajuddin
#Tajuddin Abdul Rahman
#UMNO