Tahun baharu: Kestabilan politik cabaran utama Kerajaan Perpaduan

Hasimi Muhamad
Januari 1, 2023 09:50 MYT
Perjanjian Persefahaman antara parti gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan disifatkan bukan jaminan kepada kestabilan - Foto/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Cabaran utama yang dijangka dihadapi Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023 ialah mengekalkan kestabilan politik.
Penganalisis Politik, Prof Ahmad Marthada Mohamad berpandangan ia termasuk menyelesaikan status empat ahli Parlimen yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebelum bertindak keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jelas Ahmad Marthada, konflik politik tersebut perlu dirungkai bagi memastikan kerajaan yang dibentuk dengan pelbagai gabungan parti boleh terus berfungsi dan mentadbir negara tanpa sebarang gangguan.
"Jadi bagi saya ini sudah tentu cabaran yang akan mendepani kerajaan pada tahun ini terutamanya kalau kita lihat antara isu perlu juga diselesaikan adalah wakil rakyat daripada Bersatu yang dikatakan keluar parti dan perlu diadakan semula pilihan raya.
"Ini satu masalah timbul yang mungkin kita nampak terasing dan kecil tetapi ia juga sebahagian daripada isu-isu mendepani kerajaan pada hari ini.
"Sudah tentu isu berkaitan politik dan kestabilan merupakan antara isu yang sangat besar yang perlu dihadapi kerajaan supaya jika ada kestabilan politik, maka seperti mana diucapkan oleh Perdana Menteri pada malam tadi, kerajaan boleh menumpukan sepenuh perhatian untuk memakmurkan ekonomi negara," katanya dalam program Pantau Kerajaan Baharu pada Ahad.
Ahmad Marthada menambah kestabilan politik juga penting untuk menjamin keyakinan pelabur asing dan pertumbuhan dalam ekonomi negara.
Dalam masa sama, beliau berkata usaha Kerajaan Perpaduan menandatangani Perjanjian Persefahaman antara parti gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan bukan jaminan kepada kestabilan.
"Kita juga melihat bagaimana kerajaan di Sabah dan Sarawak pasti akan berusaha untuk menuntut apa juga perjanjian yang dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dapat ditunaikan dengan sepenuhnya.
"Ini mungkin cabaran kerajaan untuk memastikan bahawa apa juga agenda yang ada dalam MA63 dapat ditunaikan supaya hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan Sabah serta Sarawak itu berterusan," ujarnya lagi.
#Perjanjian Malaysia 1963 #Kerajaan Perpaduan #Anwar Ibrahim #PRU15