Tahniah Tun Mahathir, kerana berjaya mempergunakan pembangkang - Anina
Astro Awani
Januari 8, 2018 06:00 MYT
Januari 8, 2018 06:00 MYT
Tindakan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri jika menang PRU14 kelak akan menambah kecelaruan terhadap parti gabungan itu sendiri.
Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin berkata, ia sebenarnya pembuka jalan bagi perpecahan Pakatan Harapan (PH) yang semakin menyerlah selepas pengumuman tersebut.
"Sebelum berlangsung konvensyen, Amanah Johor memboikot Konvensyen Harapan. Difahamkan Amanah Perak juga memboikot konvensyen tersebut.
"Terdapat sumber dalaman memberitahu sudah mula suara tidak berpuas hati dalam kalangan pemimpin serta ahli Amanah yang rasa tertipu sebaik pengumuman Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.
"Ternyata Tun Mahathir adalah satu-satunya pemimpin yang hebat dalam PH, bukan mana-mana pemimpin PH yang lain termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bukan juga Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang jauh ketinggalan dari bapanya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Tegasnya, kenyataan mengkritik oleh PKR Selangor juga membuktikan rasa kecewa dengan keputusan yang dibuat.
"Takziah kepada pembangkang, nampaknya keputusan yang diharapkan dapat memberikan impak positif kepada pembangkang untuk menarik sokongan rakyat ditolak mentah-mentah oleh akar umbi sendiri.
"Pengumuman tersebut sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan tetapi sebaliknya memberikan implikasi buruk kepada mereka sehingga menambah kecelaruan dan tidak mustahil bakal mengundang perpecahan dalaman dalam kalangan rakan parti dalam gabungan itu.
"Nampaknya keputusan yang diharapkan dapat memberikan impak positif kepada pembangkang untuk menarik sokongan rakyat ditolak mentah-mentah oleh akar umbi sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Ainina berkata, meletakkan Tun Mahathir membuktikan Harapan ketandusan 'winnable candidates' yang diharap mampu mengemudi negara jika mereka menang kelak.
"Sekarang PPBM boleh tersenyum dengan kerusi Parlimen di Semenanjung paling banyak mereka peroleh, namun perlu diingat tanpa kerjasama dan persefahaman dengan rakan parti lain mustahil mereka mampu bergerak bersendirian untuk berdepan pilihan raya kerana jentera yang dimiliki tidak sekuat rakan parti seperti Amanah dan PKR.
"Jika Amanah Johor dan Perak serta PKR kecewa dengan keputusan pencalonan semasa konvensyen itu, rakyat di bawah ini pastinya lebih kecewa apabila mereka meletak calon yang sudah banyak kali melakukan onar kepada negara," jelasnya.
Beliau yang juga bekas Ketua Srikandi PPBM berkata, pemilihan Mahathir juga memberikan petunjuk, anaknya, Mukhriz hanya mampu berdiri di belakang ayahnya.
"Ternyata Tun Mahathir merupakan satu-satunya pemimpin hebat dalam Harapan, bukan mana-mana pemimpin lain termasuk Muhyiddin.
"Bukan juga Mukhiz yang jauh ketinggalan dari bapanya. Pada usia Tun Mahathir 93 tahun juga Mukhriz gagal mengatasi bapanya," katanya.
Ainina turut menyifatkan Mukhriz sebagai pemimpin muda paling gagal dan tidak layak mendepani masa depan generasi milennial Malaysia.
"Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Besar namun terpaksa berpaut di belakang bapanya apabila lemas dalam survival politiknya sendiri.
"Syabas sekali lagi untuk Tun Dr Mahathir. Tahniah juga kerana berjaya mempergunakan pembangkang untuk meletak anaknya, Mukhriz sebagai perdana menteri baharu nanti dan takziah kepada pembangkang kerana dipergunakan.
"Kepada seluruh pengundi Malaysia, tepuk dada tanyalah selera marhaen. Jangan terpedaya selera ahli politik di depan mata," ujarnya.